Monday 28 November 2011

Siakap Bakar Berempah Woku Mabeles





Harum wangi semasa menumis di tambah dengan keenakan rasa rempah yang menyaluti ikan membuatkan E-na berulang kali memasak ikan bakar berempah woku. Bak kata kak Ummi, sapa dah buat rasa tak sedap meh bgtau akak...akak bagitau editor buku ni... (resepi ni dari kak ummi )...

Resepi ini  menepati selera kami...memang sedap!!! Mula terpikat masa tengok kat umah ita. Lepas tu beberapa kali buat dengan pelbagai jenis ikan yang ada kat jepun....ternyata sesuai walaupun hanya menggunakan bahan-bahan yang ada di sini sahaja...rasanya kalau guna ikan siakap dan  talapia lagi meletop! Dalam gambar ni e-na guna ikan yang warna hitam, klik sini utk tengok gambar ikan. Ikan hitam ni sedap dan pernah try guna ikan merah pun sedap....aji n saba pun ok gak rasanya...




RESEPI SIAKAP BAKAR BEREMPAH WOKU

Bahan-bahan:
  •   2 ekor (550 gm) ikan siakap - dikelar-kelar -
  •  2 sudu teh air perahan limau nipis
  •  1 sudu teh garam

# Lumur ikan siakap dengan limau nipis dan garam. Perapkan 15 minit.

  • 8 helai daun limau purut - buang tulangnya dan hiris halus
  •  4 helai daun pandan - hiris halus (E-na guna 1helai)
  •  2 helai daun kunyit - hiris halus (E-na guna 1 helai)
  • 3 batang serai - ambil putihnya dan hiris halus
  • 5 tangkai selasih - diambil daunnya (E-na tak masukkan)
  • 2 biji tomato merah - potong dadu
  • 250 ml air
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 sudu teh gula pasir
  • 2 tangkai daun bawang - dipotong-potong
  • 3 sudu makan minyak masak untuk menumis

Bahan Kisar :
  • 12 biji bawang merah
  • 7 biji cili padi merah
  • 5 biji buah keras - bakar kejap
  • 3 cm kunyit hidup - bakar
  • 2 cm halia


Bahan Pelengkap : (yang ni tak buat)
  • Daun senduduk secukupnya
  • 1 biji timun - dipotong serong
  • 4 tangkai selasih
  • 6 biji cili padi merah hiris untuk tabur


Cara-cara :
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bahan kisar, daun limau, daun pandan, daun kunyit dan serai sehingga terbit aroma.
  2. Masukkan tomato dan kacau hingga layu.
  3. Masukkan air, gula pasir dan garam. Masak sehingga matang dan mendidih.
  4. Masukkan daun selasih dan ikan siakap. Masak sehingga kuah menyerap.
  5. Sediakan alluminium foil yang telah digriskan sedikit minyak dan letak angkat ikan tadi di atas alluminium foil.
  6. Tuangkan juga semua kuah pekat tadi rata-rata menyaluti ikan. 
  7. Bakar selama 30 minit dengan suhu ketuhar 180C sehingga ikan masak.
  8. Hidangkan bersama pelengkapnya dan bahan taburan cili padi hiris.
  9. Selamat menjamu selera!!! Hingga menjilat jari uuuuu...



Ma'al Hijrah 1433





Hari ini 2 Muharram 1433H bersamaan dengan 28 November 2011. Masih belum terlewat untuk E-na ucapkan Selamat Tahun Baru Islam untuk semua pengunjung Lovely Kitchen yang beragama Islam. Semoga kita semua sentiasa di dalam rahmat dan lindunganNya. Diberi kesihatan yang baik untuk beribadat kepadaNya dan dipermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat.

Marilah kita sama-sama berubah ke arah yang lebih baik. Hindari hasad dengki sesama sendiri, sentiasa berfikiran positive dan berusaha untuk memajukan diri sendiri. Hijrah itu Pengorbanan, Hijrah itu Perjuangan, Hijrah itu persaudaraan, Hijrah membentuk Perpaduan. 

Sambutan Ma'al Hijrah peringkat kebangsaan kali ini bertemakan 'PERSEFAHAMAN ASAS PERPADUAN UMMAH'. Tema Ma'al Hijrah untuk tahun2 sebelum ini tengok kat sini(klik). Marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana di beri peluang untuk menikmati kehidupan di tahun baru. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya. Salam Ma'al Hijrah 1433 untuk semua.


Friday 25 November 2011

Nasi Ayam Ipoh





Nasi Ayam Ipoh menggunakan sos tiram sebagai salah satu ramuan utamanya. Sos Tiram yang di gunakan untuk memasak nasi memberi kelainan pada rasa Nasi Ayam Ipoh ini. Cubalah dan rasai sendiri keenakan nasi ayam ini. Anda pasti menggemarinya.



RESEPI NASI AYAM IPOH

A) Bahan Untuk  Air rebusan Ayam dan Sup:

  • air secukupnya (E-na buat 2.5 liter)
  • 4 ulas bawang putih diketuk
  • 3 inci halia di hiris
  • 3 helai batang bawang (xde stok)
  • 1 biji sengkuang dipotong dadu (E-na guna batang celery)
  • 1 sudu besar serbuk lada sulah (E-na guna 1/2 sudu kecil shj)
Cara-cara buat sup:
  1. Mula2 buat air rebusan ayam.
  2. Masukkan semua bahan kecuali batang celery dan serbuk lada sulah. 
  3. Tutup periuk dan masak hingga didih.
  4. Selepas air mendidih, masukkan ayam. Biar ia masak selama 20 minit. selepas 20 minit, angkat ayam tadi dan toskan. Ambil air rebusan ini secukupnya untuk masak nasi.
  5. Baki air rebusan tadi didihkan kembali bersama batang celery dan serbuk lada sulah. Kalau air rebusan dah berkurangan boleh lah di campur dengan air biasa. masak hingga didih. Masukkan garam dan perasakan sup. 




B) Bahan-bahan untuk Nasi:
  • 4 mug beras (E-na masak 550gram)
  • 4 1/2 mug air rebusan ayam (E-na guna  2 3/4 mug)
  • 2 inci halia*
  • 3 ulas bawang putih*
  • 3 helai batang daun bawang (ambik bhgn bawah dia...yg ada buah dia tu sekali) (E-na x letak,xde stok)
  • 1 sudu besar minyak bijan (xde minyak bijan ganti dgn minyak sayur)
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 2 helai daun pandan (5 inci)
  • 4 sudu mentega/ marjerin (3sb)
Cara-cara Masak Nasi:
  1. Panaskan rice cooker di atas dapur. Masukkan majerin dalam periuk elektrik, biar ia mencair, kemudian masukkan bahan* yg telah di blend. biar naik bau. 
  2. Kemudian masukkan batang bawang dan daun pandan. 
  3. Bila dah layu sikit masukkan sos tiram dan minyak bijan. kacau2 sekejap,kemudian masukkan beras, sedikit garam dan air rebusan ayam. 
  4. Pindahkan periuk ke tapak rice cooker dan masak nasi seperti biasa. Kacau sekali dua semasa nasi hampir kering dan sebelum nasi masak. Biarkan hingga nasik masak.


C) Bahan Untuk Perap Ayam:
  • 1 ekor ayam (1kg)
  • 3 ulas bawang putih (blend)
  • 1 inci halia (blend)
  • 3 sudu besar kicap lemak manis
  • 2 sudu besar sos tiram 
  • 1 sudu besar cuka
  • 1 sudu besar madu ( E-na tak letak sebab kicap dah ada rasa manis2)
Cara-cara Perap Ayam:
  1. Ayam yg telah di toskan tadi di masukkan kedalam satu mangkok besar. 
  2. Masukkan bahan yg telah di blend dan semua bahan2 lain, kacau2 rata dan biarkan 1/2 jam. 
  3. Selepas ayam diperap, boleh lah digoreng atau di bakar dalam oven. Kalau nak goreng jgn goreng terlalu lama...agak2 kaler dia dah bertukar kehitaman boleh diangkat terus. (Ayam tadi dah masak dgn rebus) E-na goreng je sekejap.




D) Bahan Untuk Sambal lada:
  • 10/15 biji cili burung
  • 6 biji cili merah
  • sedikit halia (ambik dari rebusan)
  • 5/6 biji bawang putih
  • 1 biji limau kasturi/nipis
  • sedikit air dari air rebusan ayam
  • garam dan gula secukupnya
Cara-cara untuk sambal lada:
  1. Masukkan semua bahan didalam blender dan blend hingga hancur.
  2. Tuang ke dalam mangkuk dan tambah garam gula jika tidak cukup rasa. Kacau rata.
*E-na buat separuh dari bahan-bahan sambal lada sebab anak-anak tak makan pedas.




E) Bahan Untuk Kicap:
  • 5 biji cili burung
  • sedikit halia (ambik dari rebusan)
  • 4/5 biji bawang putih
  • kicap secukupnya
  • air rebusan ayam secukupnya
  • tepung jagung di campur dgn air secukupnya (utk pekatkan)


Cara-cara buat Kicap:
  1. Blend semua bahan kecuali tepung jagung. 
  2. selepas blend isi dalam periuk dan panas kan atas dapur. agak2 dah panas..boleh la di masukkan tepung jagung dicampur air secukupnya utk memekatkan kuah
*Kali ini E-na buat Sambal Kicap Sempoi yang biasa E-na buat seperti di bawah dan  tidak menggunakan cara di atas.


Sambal Kicap Sempoi
  • cili api ikut kepedasan dihiris halus
  • kicap lemak manis
  • sedikit sup ayam
  • sedikit gula/ perasa
  1. Satukan semua bahan ikut kepekatan yang di inginkan. Gaul rata.

F) Bahan Sampingan
  • tomato
  • salad / kobis
  • daun sup 
  • daun bawang 
  • timun


Selepas semua dah masak, Boleh la di makan...
cara penyediaan:
  • Timun, tomato dan kobis dipotong nipis2. 
  • Daun sup dan bawang di potong halus dan di masukkan kedalam sup tadi.
  • Hidangkan semasa panas2.

Resepi asal boleh tengok di  Quinnie  My Resepi dan E-na ambil dari blog Kak Nor. Sukatan Nasi Ayam ini untuk dua kali makan kami sekeluarga (2 dewasa 3 kanak-kanak).

Wednesday 23 November 2011

Strawberry Cheese Tart


Pastry yang rapuh dan gebu, rasa masam manis jem strawberry di dalamnya bertambah lazat dengan topping cream cheese yang lembut....STRAWBERRY CHEESE TART. Lebih sedap jika dimasukkan hirisan buah Strawberry segar di atas lapisan jem.....



Menggunakan cream cheese yang lembik dan tak boleh di bentuk untuk mendeco Red Velvet Cake tempohari (klik). E-na cuma tambah 2 biji telur ke dalam adunan cream cheese. Buat satu adunan pastry di bawah dan hanya menggunakan separuh dari adunan cream cheese yang sedia ada itu. 


RESEPI STRAWBERRY CHEESE TART


Bahan-bahan Pastri:

  • 125 gram butter
  • 50 gram gula kastor / halus
  • 1 biji telur
  • 250 gram tepung gandum
  • 1/3 sudu kecil esen vanila
  • Secubit garam
  • Acuan tart 18cm dan 16cm
Cara-cara:
  1. Pukul butter, gula, garam dan esen vanilasehingga kembang.
  2. Masukkan telur dan pukul sebati.
  3. Kemudian masukkan tepung gandum dan gaul sehingga menjadi doh yang lembut.
  4. Sejukkan selama 10 minit di dalam peti ais untuk mendapatkan doh yang cantik dan tidak melekat di tangan.
  5. Bulatkan doh dan tekan di dalam acuan tart. Cucuk dasar doh dengan garfu.
  6. Bakar dengan suhu 180 darjah celcius sehingga separuh masak selama  20-25 minit (bergantung kepada saiz tart).

Bahan-bahan untuk  Cream CheeseFilling:
  • 200 gram cream cheese
  • 100 ml whipped cream
  • 60 gram icing sugar or powdered sugar
  • 1 biji telur
  • Sedikit esen vanila
  • Jem Strawberry secukupnya

Cara-cara:
  1. Putar cream cheese sehingga lembut.
  2. Masukkan esen vanila dan gula. Putar lagi sehingga lembut.
  3. Kemudian masukkan telur, putar sebati.
  4. Masukkan whipped cream dan putar lagi sehingga berkrim.
  5. Sapu rata Jem Strawberry di atas pastri.
  6. Tuang adunan cream cheese filling diatas jem sehingga sama paras dengan tebing pastri.
  7. Bakar dengan suhu 180 darjah celcius selama 35 minit atau sehingga cheese masak.
  8. Sejukkan sebelum di keluarkan dari acuan. Selamat mencuba dari Lovely Kitchen.
NOTE : Boleh hiaskan dengan sedikit jem strawberry dan buah strawberry segar di atas potongan tart semasa menghidang.


Tuesday 22 November 2011

Honda Lover Dan Insiden Deco RVC





Sekadar berkongsi pengalaman E-na menghias RVC. Mungkin boleh dijadikan rujukan dan panduan untuk beginner macam E-na yang tidak pernah mengikuti mana-mana kelas membuat kek atau kelas mendeco kek. Pelbagai kemungkinan yang kita tidak jangkakan mungkin berlaku semasa proses menghias kek. So be prepared..;) 

Bangun 4.30a.m nak deco RVC. Bancuhan cream cheese yang pertama lembik tak boleh nak deco langsung. Simpan adunan cream dalam peti, kemudian putar lagi cream lain (Cream cheese yang tak jadi frosting ini E-na buat Tart-Klik). Nasib baik beli cream cheese and whipped cream banyak kalau tak mana nak cekau pepagi macam ni. Nak jadi cerita bancuhan yang kedua juga tak jadi sekental bancuhan yang E-na buat untuk RVC sebelum ini (klik kat sini). Padahal guna bahan-bahan dan cara yang sama, tak tahu di mana silapnya. 



Bila cream lembik nak buat deco memang tak menjadi. Deco simple tapi lebih mencabar sebab cream susah di bentuk. Masa nak buat frame keliling 'H' tangan terlari sikit dan cream merah jatuh setompok atas kek. Adoiiii nak kena buang cream merah berhati-hati supaya tidak menjejaskan kek. Walaupun frame hanya kotak segiempat tapi nak dapatkan straight line dan balance kedudukan 'H' is not easy as imagined..

Untuk lukis simbol 'H',  E-na trace, gunting pada cooking sheet dan letak atas kek. Lukis sikit dengan pengcungkil gigi dan angkat cooking sheet. Sekali lagi cream yang masih lembut tertarik bersama cooking sheet...tak nampak pun yang lukis tadi  dan coating dah jadi tak rata. Moral of the story kalau nak buat logo macam ni kena sejukkan dulu kek yang telah siap coating dalam fridge. Bila dah beku baru senang nak lukis. Ye ke? tak taulah boleh ke tak...tu my opinion shj.


E-na letak kek Red Velvet yang di hancurkan menghiasi sekeliling kek. Caranya potong cooking sheet lebih kurang 2 inci x 4 inci sebanyak 3 keping. Susun di keliling bawah kek. Tabur kek hancur dia atas cooking sheet dan tekapkan cooking sheet rapat ke tepi kek. Buat untuk ketiga2 kertas kemudian angkat cooking sheet dan letak pula di bahagian kek yang belum di lekatkan kek hancur. Buat di sekeliling kek.

Kemudian menggunakan Wilton round nozzle no. 12 untuk big dots keliling atas dan bawah. Tambah dengan small dots menggunakan Wilton round nozzle no. 4 bewarna merah di atas big dots sebagai penyeri. Boleh guna plastik piping yang di potong di dihujungnya jika tiada round nozzle. Siap Deco pukul 7.30a.m....Disebabkan frosting buat dua kali tu yang sampai 3 jam. Alhamdulillah berjaya juga siapkan...


Credit to Mohd. Rahmat and Siti Baidurah untuk gambar kek yang telah dipotong. Thanks so much...:)


Lagi Cerita Red Velvet Cake dan Resepi RVC klik di bawah:


Monday 21 November 2011

Semai Kangkung


E-na semai pokok kangkung dalam pasu lain. Ambil batang dari pokok kangkung dalam entry sebelum ini (klik). Cuaca semakin sejuk...Kangkung pula  makin lambat membesar. Agaknya tak tahan dengan cuaca sejuk...Winter nanti tak tahulah boleh survive atau tidak.


Di bawah ini pokok kangkung setelah 2 kali tuaian. Bukan banyak pun....sekali petik adalah 4 atau 5 batang...cukup untuk buat nasi goreng. Sekadar lepas rindu pada kangkung....Alhamdulillah.


Chahan Soba Setto dan Gambar Soba Segera


Menu  lunch di kala ada leftover gohan yang tidak dijadikan nasi goreng untuk breakfast. Biasanya Breakfast dah ada menu lain, bila nak masak untuk lunch ada baki nasi semalam tapi tidak cukup untuk kami ber empat (Damia kat skul) E-na akan goreng nasi dan makan bersama set soba atau apa-apa jenis maggie sebagai tambahan. Kali ni E-na masak Nasi Goreng Daging. 


Hubby dan kids memang peminat soba.... mula-mula sampai nihon bau soba pun E-na tak tahan...tapi sekarang dah boleh makan, syarat mesti masa panas-panas, buh negi byk2 dan red pepper atau serbuk cili kasi pedas...Soba + ebi tenpura yang fresh kat kedai lagi heaven!

Ni satu-satunya soba instant yang boleh di makan. Kalau nak berjalan jauh biasanya kami akan bawa stok soba instant. Bila bekal yang di masak habis atau rasa nak panaskan badan di waktu kedinginan berhenti je mana-mana combini (convenient store such as 7E kt mesia) untuk ambil air panas masak soba segera ini.  Ada masa susah nak dapat roti atau makanan yang boleh di makan walaupun banyak combini. Jalan paling senang dan selaamat bawa stok soba instant dalam kereta. Bila-bila bole makan...


 Lagi gambar soba instant...kepada yang berminat boleh cari kat Aeon atau Jusco atau mana-mana pasar raya.

Friday 18 November 2011

Tempahan Khas Red Velvet Cake @ Kek Baldu Merah



Buat lagi Kek Baldu Merah untuk kali yang ke 3. 1st time buat Red Velvet Cake masa birthday Shasya dan 2nd time untuk di bawa masa jamuan Hari Raya Haji baru-baru ini. Yang ketiga ini di tempah khas oleh Mr. Hubby, peminat cheese cake dan segala jenis makanan yang berkaitan dengan cheese....;)  Yang ni kena bayar upah mahal ye papa...:)

Walaupun dah 2 kali buat kek Red Velvet tapi E-na belum menikmati rasa sebenar kek yang menjadi sebutan dan kegemaran ramai. Hanya cuit sikit-sikit masa buat untuk birthday Shasya dan untuk Jamuan Raya Haji baru-baru ini. Hari ni makan puas-puas...Kakak Damia belum makan lagi kek dah tinggal kurang dari separuh..;p. 

 
Ni close up sikit gambar RVC yang telah dipotong....ok buka mulut luas2....nyum...nyum...yummy!!


Yang dalam gambar ni je kekal takkan habis...he he...boleh buat kenangan...Bagi peminat cheese boleh cuba buat dan rasai kelainan rasa Red Velvet Cake....

Resepi Red Velvet Cake boleh tengok di sini(klik)

p/s : thanks utk semua kwn2 yang tinggalkan message dalam entry KEK KAREMEL ALUNAN KASIH...tak sempat nak buat backlink...Insyaallah dalam next entry ye....

Thursday 17 November 2011

Kek Karemel Alunan Kasih


Gabungan Puding Karemel dan Kek yang lembut di pisah kan dengan lapisan coklat menjadikan Kek Karemel Alunan Kasih begitu menawan. Masih menggunakan resepi Kek Puding Karamel Pelangi(klik) cuma di tambah serbuk koko sebagai border antara warna-warna kek. Salah satu menu sampingan semasa makan nasi kerabu(klik) dalam entry lepas. E-na guna 3 perisa, perisa pandan dan pewarna hijau, perisa pisang dan pewarna kuning telur dan esen vanila pewarna biru....sebenarnya yang biru tu asalnya nak buat perisa coklat tapi nanti tak nampak pula line coklat.


RESEPI KEK PUDING KAREMEL ALUNAN KASIH
Loyang 8 inci / 20cm tinggi 3 inci

Bahan-bahan untuk Gula Hangus:
  • 2 sudu besar gula (boleh buat 1 1/2 sb untuk air gula ngam2 sahaja)
  • Loyang 8 inci / 20cm
Cara-cara:
  1. Masukkan gula di tengah loyang kek, agak-agak di kawasan api dapur supaya senang gula cair. 
  2. Panaskan dengan api perlahan di atas dapur. 
  3. Biarkan sehingga gula cair dan bewarna perang.
  4. Bila semua gula sudah hancur tutup api dan ratakan air gula memenuhi dasar loyang.
  5. Ketepikan dan sediakan pula adunan puding. Air gula akan mengeras, biarkan sahaja. Gula ini akan cair apabila di bakar bersama dengan adunan puding dan kek nanti.
Bahan-bahan untuk Puding 
  • 400ml fresh milk / susu cair
  • 3 biji kuning telur (Putih telur masukkan terus ke dalam mangkuk pengadun untuk meringue nanti)
  • 2 biji telur
  • 140 gram gula castor
  • 1 sudu kecil esen vanila
Cara-cara:
  1. Asingkan 3 biji putih telur dan kuning telur. Masukkan 3 kuning telur di dalam mangkuk kecil dan 3 biji putih telur ke dalam mangkuk pengandun untuk bahan kek adunan 1 (meringue) nanti..
  2. Masukkan 2 biji telur ke dalam mangkuk telur kuning dan kacau perlahan-lahan supaya tidak berbuih.
  3. Kemudian satukan telur dan semua bahan-bahan di atas ke dalam mangkuk besar. Kacau perlahan-lahan.
  4. Bila semua sebati, tapiskan ke dalam loyang gula hangus tadi. 
  5. Semasa memasukkan bancuhan puding,  gula hangus akan berbunyi seperti kaca pecah.
  6. Tidak perlu dibakar dahulu adunan ini. Ketepikan. Sediakan pula lapisan untuk kek Bahan 1.
Bahan-bahan untuk Kek:

Adunan 1 (Meringue)
  • 6 biji putih telur ( 3 biji putih telur dari bahan puding + dgn 3 biji putih telur baru)
  • 70 gram gula castor
  • 1 sudu kecil cream of tar tar


Cara-cara:
  1. Pukul putih telur sehingga berbuih.
  2. Masukkan gula castor dan cream of tar tar.
  3. Pukul lagi dengan speed tinggi sehingga kental dan kaku. 
  4. Apabila mangkuk pengadun diterbalikkan adunan tidak tumpah. 
  5. Ketepikan. Guna mixer yang sama tidak perlu basuh terus buat adunan 2 untuk kek.

Adunan  2:
  • 3 biji kuning telur ( kuning telur dari bahan meringue tadi)
  • 130 ml air
  • 50 ml minyak masak
  • 70 gram gula castor
  • 140 gram tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder
  • Rich Taste Choco (yg buat hot chocolate/air rasa manis2 sikit) / cocoa powder / Milo untuk di tapis pada setiap lapisan
  • Perisa pisang dan pewarna kuning telur
  • Perisa pandan dan pewarna hijau
  • Esen vanila dan pewarna biru



UPDATE Gambar chocolate dan Milo pada 1.31pm 17 nov 2011.
Gambar Rich Taste Cocoa (yang guna buat air / hot chocolate) dan Milo untuk di tapis pada setiap lapisan kek. Rasanya lebih manis dan sedap...kalau serbok koko biasa terlebih banyak letak akan pahit sedikit...kdt to kak Anna Qawina mengingatkan E-na ttg ni...baru perasan yang e-na tak masukkan serbuk koko dalam bahan2 kek. sorry ye...


Cara-cara:
  1. Ayak tepung bersama baking powder. Ketepikan.
  2. Pukul kuning telur, air dan minyak masak sehingga putih dan gebu.
  3. Masukkan gula castor dan pukul lagi sehingga kembang
  4. Matikan mixer.
  5. Kemudian masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit. Kacau dengan senduk kayu secara kaup balik sehingga semua bergaul sebati.
  6. Masukkan separuh adunan 1 (meringue) ke dalam adunan 2. Kaup balik perlahan-lahan. Kemudian masukkan semua adunan 1 dan kacau rata secara kaup balik.
  7. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian sama banyak.
  8. Warnakan setiap bahagian dengan warna pilihan anda.
  9. Masukkan semua 1 bahagian/ warna ke dalam loyang karemel. Adunan kek akan terapung di atas adunan puding .
  10. Ayak milo/ serbuk koko memenuhi permukaan adunan kek.
  11. Masukkan adunan warna ke 2 di atas serbuk koko perlahan-lahan supaya serbuk koko tidak bergerak.
  12. Kemudian ayak lagi milo / serbuk koko memenuhi permukaan adunan kek.
  13. Masukkan adunan warna ke 3 di atas milo / serbuk koko dengan perlahan.
  14. Bakar dengan suhu 160 degree selama 50 minit atau sehingga cake masak dengan cara bain marie
  15. Setelah masak biarkan kek di dalam oven selama 10 minit atau sehingga keliling kek lekang dari loyang.
  16. Terbalikkan ke atas pinggan dan kek akan turun sendiri.
  17. Segera lap lebihan air gula yang meleleh dan di atas puding secara perlahan dan berhati-hati supaya kek tidak basah. 
  18. Potong kek semasa kek benar-benar sejuk dan hidangkan. Sedap di makan selepas disejukkan di dalam peti sejuk. Selamat Mencuba dari Lovely Kitchen.



  1. Masukkan air ke dalam tray oven kemudian letakkan loyang berisi kek di atas tray berisi air tadi kemudian bakar di dalam oven. Atau...
  2. Masukkan air ke dalam loyang yang lebih besar dari loyang kek. Kemudian letakkan loyang kek ke dalam loyang berisi air dan bakar di dalam oven.
  3. Kalau dah cuba resepi ini boleh tinggalkan message untuk E-na backlink blog anda....



Backlink sebagai tanda terima kasih dan penghargaan di atas Lovely Messages dalam entry CARA BERLAUK SPICY TUNA MAYO and new Lovely Messages. Thanks...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...