Tuesday 31 August 2010

:-> Salam Kemerdekaan and 10th Wedding Anniversary



Double Celebration...


PERTAMA...
Tanggal 31 Ogos 1957, tarikh keramat yang tidak akan dilupakan oleh semua warganegara Malaysia. Semoga Negara kita terus aman, maju dan makmur. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 53.

KEDUA...
31 Ogos 2000 merupakan hari penukaran status dari CIK ke PUAN untuk E-na...he he berdebar kan masa tu tapi bahagia sangat sebab dapat berkongsi hidup dengan insan yang kita sayang. Alhamdulillah kami dikurniakan dengan 2 orang puteri jelita dan seorang putera encem yang menambah seri dan memberi kegembiraan kepada keluarga. Semoga anugerah yang amat bernilai ini menjadi insan yang soleh dan solehah.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim...
Berikanlah kami kesihatan yang baik agar terus dapat menjalankan ibadah kepadamu,
agar terus dapat menunaikan kewajipan dan tanggungjawab kami kepada ibu bapa kami dan anak-anak kami yang tersayang.

Ya Allah...
Eratkanlah hubungan kami suami isteri dengan limpahan kasih sayang yang tulus suci agar kami sentiasa bahagia dan gembira menjalani kehidupan ini...
Rahmati dan berkatilah mahligai yang kami bina ini agar terus kekal bahagia bersama hingga ke akhir hayat...
Permudahkan segala urusan kami agar kami dapat terus mengharungi kehidupan sebagai hamba Mu dengan tabah...
aminnnn...amin ya rabbal a'lamin.







Monday 30 August 2010

:-> Gulai Kuning Pedas Udang dan Nenas



Resepi Gulai Kuning Pedas Udang dan Nenas
Bahan-bahan:
  • 12 ekor udang
  • 1 keping nenas bulat (dipotong 8)
  • 6 ulas bawang merah / 1/2 labu bawang merah besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 2cm kunyit hidup
  • 2cm halia
  • 6 biji cili padi ( ikut tahap kepedasan masing2)
  • 300 ml santan tin
  • 200 ml air
  • 1 batang serai (dititik)
  • Sehelai daun kunyit
  • garam
  • gula /serbuk perasa

Cara Memasak :
  1. Bawang merah, bawang putih, kunyit, halia, cili padi dimesin.
  2. Masukkan santan, air dan serai ke dalam periuk bersama-sama bahan yang dimesin.
  3. Kacau sehingga menggelegak di atas api yang sederhana.
  4. Masukkan nenas dan daun kunyit yang disiat.
  5. Bila nenas sudah lembut, masukkan udang, garam, gula dan perasa.
  6. Angkat bila udang telah masak. Sedia untuk dihidangkan. Selamat Mencuba!

Sunday 29 August 2010

:-> Agar-agar Laici Susu



Resepi Agar-agar Laici Susu

Bahan-bahan
  • 20 gram solid agar-agar
  • 1000ml air + air laici dalam tin
  • 200 gram gula
  • 600 ml fresh milk
  • 1 tin laici
Cara-cara :
  1. Rendam sekejap agar-agar supaya lembut.
  2. Masukkan agar-agar dan air ke dalam periuk dan masak sehingga agar-agar hancur.
  3. Masukkan gula dan air laici. Kacau sehingga hancur.
  4. Kemudian masukkan fresh milk dan laici yang telah di hiris halus. Kacau dan bila mendidih tutup api.
  5. Masukkan ke dalam acuan dan biarkan beku.
  6. Sejukkan di dalam peti ais.
  7. Semasa menghidang letakkan beberapa biji laici yang bulat di atas agar-agar sebagai hiasan. Selamat Mencuba!

Saturday 28 August 2010

:-> Roti Jala dan Kari Daging Kentang



Resepi Roti Jala

Bahan-bahan
  • 220 gram tepung gandum
  • 200 gram fresh milk
  • 200 gram air
  • +-60 gram telur ( 1 biji)
  • 1/2 sudu kecil garam
  • sedikit pewarna kuning
  • Acuan roti jala

Cara Membuatnya:
  1. Masukkan tepung gandum, garam, telur, fresh milk, air dan pewarna ke dalam mangkuk dan kacau.
  2. Kemudian masukkan adunan ke dalam blender dan blender sehingga sebati.
  3. Tapiskan adunan ke dalam mangkuk.
  4. Biarkan 30 minit sebelum di masak.
  5. Panaskan non stick pan dengan api sederhana.
  6. Masukkan adunan ke dalam acuan dan mulalah menjala.
  7. Angkat bila adunan di bahagian atas sudah beku / bertukar warna lebih cerah.
  8. Kemudian jala lagi adunan ke dalam non stick pan. Lipat atau gulung roti jala yang sudah masak tadi dengan kemas. Ulang langkah 6 - 8 sehingga adunan habis.
  9. Sesuai di hidangkan dengan kari ayam atau daging atau kuah kesukaan anda. Selamat mencuba!

Wednesday 25 August 2010

:-> Air Cendol Berkasih





Air Cendol Berkasih di beri nama sebab ada sepasang cendol di dalam resepi ini. Cendol bewarna hijau dan cendol berwarna merah. Kalau tambah lagi satu cendol berwarna kuning mungkin namanya jadi Air Cendol Keluarga Bahagia...kikiki



Resepi Air Cendol Berkasih
Bahan-bahan:
Cara Menyediakannya:
  1. Masukkan Cendol Merah dan cendol Hijau ke dalam mangkuk.
  2. Masukkan pula ais yang telah di sagat/ mesin halus.
  3. Siramkan dengan santan / fresh milk dan air gula di atasnya.
  4. Gaul rata sebelum menikmati air cendol berkasih ini. Selamat mencuba.


Resepi Air Gula Pandan
Bahan-bahan:
  • 200 ml air
  • 350 gram gula melaka
  • 150 gram gula pasir
  • 5 inci daun pandan
Cara Membuatnya :
  1. Masukkan semua bahan-bahan diatas ke dalam periuk.
  2. Didihkan sehingga semua bahan hancur.
  3. Tapiskan sebelum di guna.
NOTE
  • Sukatan air gula pandan ini cukup untuk bancuhan 4 cawan tepung cendol.



Resepi Santan Pandan
Bahan-bahan
  • 1 cawan santan segar / santan serbuk 50g + 200ml air
  • 5 inci daun pandan
  • secubit garam
Cara menyediakannya:
  1. Masak santan, daun pandan dan garam sehingga mendidih.
  2. Angkat dan sejukkan.

Note
  • Boleh tambah sedikit tepung jagung semasa memasak untuk memekatkan santan.


:-> Cendol Tepung Beras dan Cendol Tepung Jagung



Air Cendol adalah antara menu wajib di bulan ramadhan semasa kecil-kecil tinggal dengan mak dulu. Mak E-na guna acuan cendol khas dari tempurung kelapa yang besar dan telah di tebuk lubang. Sayangnya acuan tersebut dah pecah...maklumlah dah lama sangat.

Cendol ni E-na buat untuk berbuka Sabtu lepas. Siap tepon mak tanya resepi cendol. Biasanya Mak E-na guna tepung beras. E-na buat guna tepung beras dan tepung jagung. Kualiti tepung beras kat sini tak sama mcm yang kat mesia tu (tepung beras thai)....cendolnya jadi lembut sangat dan mudah patah.


Resepi Cendol Tepung Beras

Bahan-Bahan:
  • 1 cawan tepung beras
  • 3 cawan air
  • 1 sudu kecil air kapur
  • sedikit pewarna hijau
  • sedikit perisa pandan

Cara Membuatnya :
  1. Sediakan bekas yang mengandungi air sejuk / air paip. Ketepikan.
  2. Masukkan semua bahan-bahan dia atas ke dalam periuk non-stik. Kacau supaya semuanya sebati.
  3. Kemudian masak dengan api yang sederhana dan sentiasa di kacau supaya tidak berketul.
  4. Kacau sehingga masak dan adunan berkilat.
  5. Ketika masih panas masukkan adunan ke dalam acuan cendol dan tekan ke dalam bekas yang berisi air sejuk tadi.
  6. Proses menekan cendol hendaklah dilakukan dengan pantas. Adunan yang sejuk akan menyukarkan proses menekan cendol.
  7. Boleh di simpan di dalam peti sejuk bersama dengan airnya sekali. Sedap di makan bersama santan atau fresh milk dan air gula, di buat puding atau sebagai bahan campuran di dalam Air Batu Campur.

NOTE :
  • Cendol Tepung Beras teksturnya lebih lembik dan mudah hancur tetapi rasanya sedap.
  • Lebih sedap dan harum jika menggunakan air daun pandan.






Resepi Cendol Tepung Jagung

Bahan-Bahan:
  • 1 cawan tepung Jagung
  • 3 cawan air
  • sedikit pewarna merah (apa-apa warna kesukaan anda)

Cara Membuatnya :
  1. Sediakan bekas yang mengandungi air sejuk / air paip. Ketepikan.
  2. Masukkan semua bahan-bahan dia atas ke dalam periuk non-stik. Kacau supaya semuanya sebati.
  3. Kemudian masak dengan api yang sederhana dan sentiasa di kacau supaya tidak berketul.
  4. Kacau sehingga masak dan adunan berkilat.
  5. Ketika masih panas masukkan adunan ke dalam acuan cendol dan tekan ke dalam bekas yang berisi air sejuk tadi.
  6. Proses menekan cendol hendaklah dilakukan dengan pantas. Adunan yang sejuk akan menyukarkan proses menekan cendol.
  7. Boleh di simpan di dalam peti sejuk bersama dengan airnya sekali. Sedap di makan bersama santan atau fresh milk dan air gula, di buat puding atau sebagai bahan campuran di dalam Air Batu Campur.

NOTE :
  • Cendol Tepung Jagung lebih pejal dan tidak mudah patah atau hancur. Rasanya juga sedap.
  • Lebih sedap dan harum jika menggunakan air daun pandan.
  • Tidak perlu masukkan air kapur jika menggunakan tepung jagung.


:-> Pokok Cili Api




2 pokok cili api yang sudah pun penghujung buahnya. Mana nak dapat cili api fresh kat Nagoya ni. So bila dapat kutip hasil pokok sendiri bukan main seronok lagi. Kami ni suka pedas.

Cili yang masih hijau ini selalu menjadi mangsa E-na dan hubby. Penyek dalam sup ke, budu ke, singgang ke memang sedap. Kalau tak pun penyek dalam nasi macam tu jer....hi hiii pas tu mulalah pedas sampai ke telinga!

Pokok yang ni baru bewarna coklat cilinya. Belum merah betul lagi.....agak2nya sempat ke nak merah....macam tak sempat jer....;-p

Bila dah pengujung usia pokok cili ni baru boleh biarkan dia masak. Itu pun adalah 4 or 5 biji jer yang merah. Yang lain tu dah selamat di petik ketika masih hijau. Susah nak dapat benih cili padi kat sini. Rasanya nak simpan yang merah ni buat benih.





Monday 23 August 2010

:-> Seafood Lasagna



Seafood Lasagna adalah antara menu favorite bila ke Pizza Hut. Dah setahun tak merasa keenakan dan kelembutan lasagna kat pizza hut tu....eerrrrmm rasanya yang creamy...yummy...yummy...


Resepi Seafood Lasagna


Bahan A
  • 4 keping kulit lasagna
  • 1 sudu kecil olive oil
  • Air secukupnya
  • Mozarella Cheese secukupnya (Untuk di tabur di atas susunan lasagna nanti)

Cara Membuatnya :
  1. Rebus kulit lasagna sehingga lembut. Masukkan olive oil ke dalam rebusan tersebut supaya tidak melekat.
  2. Angkat dan toskan.


Bahan B
  • 1/2 labu bawang besar - didadu kecil
  • 1 biji bawang putih (optional)- dicincang halus
  • 5 batang crab stik - potong kecil
  • 10 ekor udang - potong kecil
  • 1 1/2 sudu besar butter
  • sedikit serbuk lada hitam
  • sedikit oregano, basil / mix herbs
  • garam dan perasa

Cara Membuatnya:
  1. Cairkan/ panaskan butter.
  2. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau.
  3. Masukkan udang dan crab stik. Kacau
  4. Kemudian masukkan serbuk lada hitam, garam dan perasa, kacau sebati.
  5. Akhir sekali masukkan oregano dan basil, kacau sekejap dan angkat.

Bahan C (White sauce)
  • 400 ml fresh milk
  • 2 sudu besar tepung gandum
  • 2 sudu besar butter
  • sedikit serbuk lada hitam
  • garam

Cara Membuatnya :
  1. Masukkan semua bahan C ke dalam periuk dan kacau sebati menggunakan hand whisker.
  2. Masak adunan sehingga mendidih dan pekat.
  3. Tutup api dan ketepikan.

Cara Menyediakan Lasagna :
  1. Susun 2 keping lasagna di dalam casserole 20cm. Masukkan sebahagian bahan B dan ratakan.
  2. Kemudian curahkan separuh white sauce diatasnya. Ratakan.
  3. Susun lagi 2 keping lasagna diaatas white sauce. Masukkan baki bahan B dan ratakan.
  4. Curahkan semua baki white sauce dan ratakan.
  5. Taburkan mozarella cheese menutupi white sauce.
  6. Bakar di dalam oven dengan suhu 180 degree selama 30 minit. Sedia untuk dihidangkan bersama chilli sauce atau tabasco atau di makan begitu sahaja.

Note : Boleh gunakan caserole bersaiz kecil untuk mendapatkan lapisan yang lebih banyak.

Tuesday 17 August 2010

:-> Pau Lembut Gebus


Pau Lembut Gebus berinti kentang daging berwarna putih dan Pau inti kacang merah bewarna pink. E-na malas nak titik-titik warna atas pau untuk bezakan inti jadi E-na warnakan terus dengan warna merah.


Resepi Pau Lembut Gebus

Bahan-bahan:
  • 250 gram tepung gandum
  • 100 gram / ml air suam
  • 50 gram gula castor
  • 3 gram dry yeast (3/4 sudu kecil)
  • 1 sudu besar shortening
  • 1 sudu besar dough softener
  • 1 sudu kecil bread softener
  • 1/2 sudu kecil baking powder

Bahan sampingan :
  • Daun pisang / kertas A4/ cooking sheet dipotong sebesar 2 x 2 inci


Cara Membuatnya :
  1. Masukkan semua bahan-bahan ke dalam bread machine mengikut turutan, air suam, dry yeast, tepung gandum, baking powder, bread softener, gula castor, dough softener dan shortening.
  2. Pilih menu 'dough' dan on kan bread machine.
  3. Keluarkan doh dari Bread Machine setelah doh siap diuli dan direhatkan kali pertama lebih kurang selama 15 minit sahaja. Tidak perlu menunggu sehingga doh siap di uli sepenuhnya atau selama 1 1/2 jam.
  4. Bahagikan doh kepada 10 bahagian.
  5. Masukkan inti kegemaran anda dan tutup kemas.
  6. Letakkan di atas daun pisang / kertas A4 / cooking sheet.
  7. Biarkan naik 2 kali ganda.
  8. Panaskan pengukus. Bila air telah mendidih, masukkan pau dan kukus selama 10 minit.
  9. Angkat dan sedia untuk dihidangkan. Selamat Mencuba!





Saturday 14 August 2010

:-> Udang Celup Tepung Restoran Masakan Thai



Udang Celup Tepung atau Udang Goreng Tepung ni antara menu favorite kami sekeluarga. Sekejap je licin. Kali ni baru sempat posing sebab masa udang ni siap digoreng anak-anak sedang tidur...he he... sesape yang nak buat boleh try resepi di bawah...


Boleh cicah dengan sos cili thai atau sos pencicah seafood. Bagi yang tinggal di Nagoya boleh guna Sweet Chilli Sauce sebagai pencicah. Memang sedap dan sesuai sangat sos ni dgn udang goreng tepung...Macam makan kat restoran masakan panas Thai di Malaysia tau! hihiii



Udang Goreng Tepung Versi Lurus tengok di sini (klik)





Resepi Udang Goreng Tepung Kedai Thai


Bahan-bahan:
  • 20 - 30 ekor udang
  • 80 gram tepung gandum
  • 100 ml air
  • 1 sudu kecil baking powder
  • sedikit garam
  • sedikit kunyit (kalau nak putih tak perlu letak kunyit)


Cara Membuatnya :
  1. Masukkan tepung gandum, garam dan baking powder ke dalam mangkuk.
  2. Masukkan air dan kacau rata supaya tidak berketul.
  3. Biarkan selama 30 minit sebelum digunakan. Kalau masuk dalam peti sejuk lagi bagus.
  4. Udang di bersihkan. Buang kulit, tinggalkan sedikit kulit dibahagian ekornya.
  5. Keringkan udang dengan kitchen tissue. Pastikan benar-benar kering.
  6. Panaskan minyak yang banyak (boleh tenggelam udang).
  7. Pegang bahagian ekor udang dan celupkan rata ke dalam bancuhan tepung.
  8. Bahagian ekor tidah perlu bersalut tepung.
  9. Masukkan ke dalam minyak dan goreng sehingga keperangan.
  10. Angkat dan toskan.
  11. Hidangkan bersama sos pencicah kegemaran anda. Boleh guna sos cili thai, sos pencicah, sos cili, mayonis, tar tar sauce dan sebagainya. Selamat mencuba dari Lovely Kitchen.


TIPS
  • Pastikan udang betul2 kering bagi mengelakkan dari minyak meletup yer....AWAS!
  • Mungkin jenis tepung yang berbeza sukatan air pun berbeza...bancuhan tepung jangan cair supaya boleh melekat pada udang. Dan jangan terlalu pekat....

Udang Goreng Tepung Versi Lurus tengok di sini (klik)




Rakan yang telah mencuba Resepi Udang Celup Tepung :

Friday 13 August 2010

:-> Eggless Butter Cookies


Antara cookies yang senang dan cepat dibuat. Hanya menggunakan bahan-bahan asas tetapi rasanya pasti memikat. Sesuai untuk kudapan anak-anak dan keluarga. Kalau nak jadikan biskut raya boleh di sapu dengan white cooking chocolate cair dan lorek dengan black cooking chocolate atau tabur dengan chocolate rice.


Resepi Eggless Butter Cookies

Bahan-bahan:
  • 130 gram butter
  • 60 gram gula castor
  • 150 tepung gandum
  • 40 gram tepung jagung
Cara Membuatnya :
  1. Ayak tepung gandum bersama dengan tepung jagung.
  2. Pukul Butter dan gula sehingga kembang.
  3. Masukkan tepung dan gaul rata.
  4. Ambil sedikit adunan dan bulat-bulatkan.
  5. Kemudian tekan menggunakan garfu.
  6. Bakar dengan suhu 180 degree selama 15 - 20 minit atau sehingga keperangan.
  7. Sejukkan di atas redai dan simpan di dalam bekas kedap udara. Selamat Mencuba!
Note : Boleh kurangkan 10gram tepung jagung supaya doh lebih lembut jika mahu menggunakan acuan SAWA atau acuan samperit atau acuan bunga dahlia.

Thursday 12 August 2010

:-> 1 Ramadhan 1431 / 11 August 2010


Menu berbuka untuk hari pertama :
  • Nasi Putih
  • Rosemarry Grilled Salmon
  • Gulai Nangka Muda
  • Macaroni Crab Gratin
  • Kuih Puteri Ayu
  • Air Laici

Hari pertama puasa buat kuih puteri ayu. E-na tambahkan baking soda dan tidak masukkan tepung ubi di dalam adunan kali ini. Kuihnya lebih lembut dan tetap moist. Resepi yang sebelum ni pun dah lembut dan moist. Boleh tengok disini atau disini.



RESEPI KUIH PUTERI AYU (Resepi 2)

BAHAN A:
  • 50 gram kelapa kering
  • 60 ml santan dalam tin
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 1/4 sudu teh garam halus ( jangan abiskan, rasa dulu)

Cara membuatnya:

  1. Gaul semua bahan A sehingga rata.
  2. Sapu acuan kuih puteri ayu dengan sedikit minyak masak kemudian masukkan kelapa yang telah di campur dengan tepung jagung dan garam tadi. Tekan sampai padat dan ketepikan.


BAHAN B:
  • 1 biji telur (+- 60gram)
  • 80 gram gula halus
  • 80 ml santan dalam tin
  • 100 gram tepung gandum
  • 1/4 sudu kecil soda bikarbonat (E-na tak abiskan)
  • 1/2 sudu kecil ovallate
  • sedikit pewarna hijau
  • sedikit perisa pandan

Cara Membuatnya:
  1. Ayak tepung bersama baking soda. Ketepikan.
  2. Putar telur, gula dan ovallate sehingga kembang(berwarna putih)
  3. Masukkan perisa pandan dan pewarna hijau. Pukul rata.
  4. Perlahan kan speed masukkan tepung berselang seli dengan santan sehingga habis. Putar sehingga habis.
  5. Sudukan ke dalam acuan yang telah diisi dengan kelapa tadi.
  6. Kukus di atas air mendidih selama 7 minit dengan api sederhana.
  7. Angkat dan sejukkan kemudian keluarkan dari acuan. Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...