Showing posts with label Kuih Muih. Show all posts
Showing posts with label Kuih Muih. Show all posts

Tuesday, 24 September 2013

PANCAKE BUTTERMILK PISANG DAN TIPS


Buttermilk Banana Pancake untuk sarapan pagi atau sebagai hidangan minum petang. Buttermilk Pancakes ini sangat lembut dan sedap di makan bersama Chocolate Hershey's Syrup, Madu, Pancake Syrup, Blueberry Syrup, Maple Syrup, butter, Caramel sauce, Jem, atau Ice-Cream. Kalau nak rasa kemelayuan boleh makan dengan sos cili. Rasa pedas-pedas sedap juga. Atau melayu + western boleh campur mayonaise dan sos cili makan bersama pancake. Pilihlah yang mana suka.


E-na buat mini pancake untuk minum petang anak-anak. Dengan hirisan pisang dan dimakan dengan susu pekat manis. Mama n papa makan pancake ddengan ice cream. Alhamdlillah. Hirisan pisang tulip, hirisan 6 keping dan hirisan 3 keping pisang untuk 3 orang kanak-kanak ribena di Lovely Kitchen. Shasya pilih hirisan 3 keping pisang, katanya ' Adik nak yg 3 ni  sebab pisang dia sikit'. Alahai anak semua tu sama banyak je pisangnnya. Mama letak sebiji pisang untuk sepiring pancake. Oklah tu secara tak langsung dia dah makan sebiji pisang..hihiii (depa ni dah jemu dgn pisang coz masa kat Jepun dulu boleh dikatakan hari-hari mesti makan pisang disamping buah-buah lain)


RESEPI BUTTERMILK PANCAKES

Bahan-Bahan:

  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu kecil baking powder
  • 1/2 sudu kecil soda bikarbonate
  • 1/3 sudu kecil garam
  • 200 ml buttermilk (jika tiada guna alternatif di bawah)
  • 4 sudu besar susu segar/ susu cair
  • 2 sudu besar butter (dicairkan)
  • 1 biji telur
  • 1/2 sudu kecil esen vanila
Cara Membuatnya:
  1. Kacau telur dengan whisk sekadar bergaul rata. Masukkan susu, butter cair, esen vanila, buttermilk, gula dan gara. Kacau rata.
  2. Kemudian masukkan tepung, baking powder dan soda bikarbonate. Kacau rata.
  3. Panaskan pan. Sendukkan ke dalam pan. Tutup pan dengan tudung periuk.
  4. Masak sehingga ada buih-buih udara dan selepas buih-buih tu pecah terbalikkan pancake.
  5. Angkat dan hidangkan dengan syrup kegemaran anda. Selamat  Mencuba dari Lovely Kitchen.
NOTE : Jika tiada BUTTERMILK boleh buat begini : 200ml susu segar + 1 sudu besar cuka. Biarkan selama 10 minit atau sehingga susu menjadi agak pekat/ berketul.


TIPS PANCAKE GEBU CANTIK MENAWAN DARI LOVELY KITCHEN
  • Guna nonstick pan. Tidak perlu isi minyak masak. Pancake akan sekata warnanya tidak bertompok-tompok. 
  • Bancuhan dibiarkan sekejap sebelum di masak. Dalam 10 minit supaya ianya mesra gitu.
  • Masak dengan hati girang ceria penuh kasih sayang...jangan stress...baru masakan menjadi lebih sedappp!!! :-)

Monday, 23 September 2013

Kuih Lapis Pelangi Yang Gorgeous!


Sayang nak makan. Sungguh cantik dan kemas sekali kejadian Kuih Lapis Pelangi ni. Terpegun dengan kepakaran si pembuatnya. Pada E-na ianya sungguh perfect. Gabungan warna-warna pelangi yang indah. Rasanya juga sedap!


Ada yang berminat? Boleh dapatkan Kuih Lapis Pelangi ini di Pasar Moden Seksyen 6 Shah Alam. Sebelum ni satu pack berharga RM3.00. Tapi selepas harga minyak naik 20 sen, kuih ni pun naik 20 sen. Jadi RM3.20 satu pack. Mahal ke...kalau di nilai dengan kesenian, ketelitian, kekemasan dan paling penting kesedapan yang ada pada kuih lapis pelangi ni tak lah rasa mahal. Bukan mudah untuk menghasilkan kuih secantik ini. Tahniah pada pembuatnya. E-na sungguh kagum. Sebelum makan puas dok belek-belek sambil memuji keindahannya. Subhanallah.


Tuesday, 17 September 2013

PULUT KUNING SAMBAL TUMIS IKAN BILIS



Pulut Kuning Kukus di makan bersama Sambal Tumis Ikan Bilis, Telur Rebus dan hirisan timun untuk lunch anak-anak 11 September 2013. Ini sahaja menu yang sempat E-na sediakan. Itupun Baby Qischa dah berbunyi-bunyi memanggil nak mama. haissh tak boleh berenggang lama sikit anak mama ni...mulalah bising jerit-jerit.

Pulut kuning yang sedang di kukus. Cara kukus boleh tgk disini. Atau cara kukus traditional disini. Atau masak guna rice cooker di sini


Kalau ada rendang ayam lagi ummmph! Tapi kalau tak de orang tolong jaga baby memang tak boleh nak masak kat dapur lama-lama. 

Di bawah ini gambar2 semasa bulan puasa 2013. Yang mana sempat di snap.

Rendang Pedas Ayam Chef Wan.


Lemang biasa dan lemang pulut kuning bersama rendang untuk jiran.


Buah Melaka aka ondeh ondeh atau buah kekoh cha di klate.


Sekadar kenangan...

Thursday, 23 February 2012

Roti Jala Pandan @ Roti Kirai


Roti Jala atau Roti Kirai adalah antara kuih kegemaran di Malaysia. Kenapa tak di panggil Kuih Jala atau Lempeng Jala.....yelah bukan guna dry yeast macam buat roti tapi dinamakan Roti Jala. Tak kisahlah apa pun namanya dah tertulis begitu, yang penting nak buatnya tidaklah sesukar mana jika kena bancuhannya, ada non-stick pan  ( 2 biji pan lagi elok, cepat siap) dan alat untuk menjala atau mengirainya. 



RESEPI ROTI JALA PANDAN


Bahan-bahan:
  • 450 gram tepung gandum
  • 400 ml fresh milk/ susu cair
  • 400 ml air dari daun pandan yang dikisar / air kosong
  • 2 sudu besar butter dicairkan
  • 2 biji telur (+-120g)
  • 1 sudu kecil garam
  • sedikit pewarna hijau
  • sedikit perisa pandan (optional jika tidak menggunakan air daun pandan)
Cara Membuatnya:
  1. Masukkan semua bahan di dalam mangkuk. Kacau sebati.
  2. Kemudian blend adunan supaya hancur.
  3. Tapis ke dalam mangkuk.
  4. Panaskan non-stick pan.
  5. Masukkan adunan ke dalam acuan roti jala atau bekas mayonis 3 lubang.
  6. Mulalah menjala.
  7. Angkat dan gulung atau lipat bila sudah masak.
  8. Buat sehingga adunan habis. Sesuai di hidangkan bersama Kari ayam, daging atau kambing. Selamat Mencuba dari Lovely Kitchen.

Lagi resepi roti jala klik link di bawah:

Wednesday, 16 November 2011

Cara Berlauk Spicy Tuna Mayo


Kuih Cara Berlauk E-na buat kejap tadi. Cadangnya untuk makan sampingan esok pagi selain dari nasi goreng tapi dah tinggal separuh. Bimbang kuih habis sebelum sempat shot esok pagi, terus ambil kamera snap sekeping dua gambar sekadar ada sebagai kenangan masak-masak di Negara Jepun.

Cara Berlauk kali ini menggunakan inti Spicy Tuna Mayo lebihan buat Spicy Tuna Pizza ahad lepas. Dan E-na tambahkan bawang goreng dalam kuih cara ini. Kalau dapat bawang yang goreng sendiri tu lagi wangi bau kuih cara ni. E-na pernah publish Resepi Cara Berlauk inti daging dan Cara Manis di sini (klik). Resepi inti Spicy Tuna Mayo yang E-na guna kali ini boleh tengok disini (klik).  E-na letak juga resepi di bawah untuk memudahkan semua, tak perlu klik sana sini kan...;)



RESEPI SPICY TUNA MAYO

Bahan-bahan :
  • 80 gram tuna flakes (1 tin kecil seperti gambar di atas)
  • 1/2 labu bawang besar dipotong dadu
  • sedikit chilli powder (ikut kepedasan masing-masing/ xde pun xpe,lebihkan cili api)
  • 1/2 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar mayonis
  • 1 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sweet chilli sos / sos chilli thai
  • 1 biji cili api di hiris halus dan nipis
  • 1 sudu besar minyak masak
Cara-cara :
  1. Panaskan minyak masak.
  2. Masukkan bawang besar dan masak sehingga layu.
  3. Kemudian masukkan chilli powder dan sedikit air. Kacau sekejap dan masukkan sos tomato, sos cili dan sweet chilli sos, kacau rata.
  4. Masukkan tuna dan tekan-tekan dengan sudip supaya tuna yang besar-besar hancur.
  5. Masukkan mayo dan cili padi. Kacau sampai pekat sikit(jgn sampai kering) kemudian tutup api.
  6. Sedia untuk digunakan sebagai inti bun, inti karipap, sandwish, inti lempeng, inti pau, burger malaysia, tuna roll (sardin roll) atau apa sahaja yang sesuai.

Note Lovely Kitchen :
  • Jika perlu boleh tambah garam dan gula. E-na tidak menggunakan garam dan gula dalam resepi ini kerana sos-sos yang digunakan telah mencukupkan semua rasa. 



ADUNAN CARA BERLAUK
*menghasilkan 30 biji (bergantung pd saiz acuan)

Bahan-bahan:

  • 100 gram tepung gandum
  • 100ml santan tin (pekat)
  • 300ml air
  • 1 biji telur (+-65g)
  • 1/3 sudu kecil garam
  • beberapa titik pewarna kuning telur
Bahan-bahan Tabur:
  • Inti daging / ayam /tuna di atas
  • 1 biji cili merah besar - dihiris nipis
  • 25 gram daun sup- dihiris halus
  • Bawang goreng secukupnya
Cara-cara:
  1. Masukkan tepung gandum, santan, air, garam, telur, dan pewarna kuning telur ke dalam bekas.
  2. Kacau sebati. 
  3. Kemudian tapiskan ke dalam jug untuk memudahkan proses memasak nanti.
  4. Panaskan acuan dengan menggunakan api perlahan/ kecil.
  5. Sapu minyak pada acuan.
  6. Tuangkan adunan ke dalam lubang acuan. Jangan penuh, sekadar 3/4 memenuhi acuan.
  7. Masukkan inti tuna, hirisan cili besar, bawang goreng dan sedikit daun sup ke atas adunan di setiap lubang.
  8. Tutup acuan cara dengan tudung periuk.
  9. Set timer selama 7  minit. Tambahkan minit jika belum masak.
  10. Selepas 7 minit dan kuih masak, guna pengcungkil gigi untuk keluarkan dari acuan.
  11. Angkat dan ulang semula langkah 5 sehingga selesai semua adunan.
  12. Sejukkan dan bolehlah di makan. Selamat mencuba dari Lovely Kitchen.

TIPS LOVELY KITCHEN

  • SUPAYA KUIH CARA TIDAK MELEKAT DI ACUAN - Pastikan acuan di panaskan dahulu dan di sapu minyak baru isi adunan kuih.
  • Set kan timer semasa  memasak untuk mendapatkan hasil yang sama cantik warna masaknya.
  • Boleh guna ACUAN TAKOYAKI untuk membuat kuih cara.


Sunday, 28 August 2011

:-> Kuih Limas



Kalau tengok kuih dalam daun pisang macam di bawah E-na akan kata itu kuih tepung pelita. Tapi sekarang baru tahu yang ada kuih sama rupa dan bentuk dengan tepung pelita tapi rasanya berbeza. Kuih Limas menggunakan tepung gandum manakala tepung pelita menggunakan tepung beras.

E-na pernah buat tepung pelita tapi rasanya tidak seperti yang diinginkan...jadi seperti berselut...mungkin tepung beras kat sini berbeza. Kalau ada tepung beras Malaysia tentu sedap...eerrrmmm kena  tunggu balik malaysia lah baru boleh bertepung pelita sedap.

Bila jumpa resepi Kuih Limas terasa ingin mencuba. Tapi kuih E-na buat ni keras sikit tidak selembut tepung pelita...mungkin terlebih sukatan atau sememangnya tekstur Kuih Limas begini? Apa pun thanks Mas atas resepi. Lain kali kena kurangkan sukatan tepung supaya lebih lembut.



RESEPI KUIH LIMAS

Bahan Lapisan Bawah:
  • 2 1/2 cawan santan cair (E-na guna 500ml)
  • 2 helai daun pandan
  • 1 cawan tepung gandum (E-na guna 120g)
  • 2 sudu besar gula
Cara-cara:
  1. Kisar daun pandan dengan santan cair dan tapis.
  2. Masukkan gula, tepung gandum dan pewarna hijau jika perlu dan kisar sebati. Ketepikan.

Bahan Lapisan Atas:
  • 2 1/2 cawan santan pekat 
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh garam
Cara-cara:
  1. Satukan semua bahan, kisar dan ketepikan. Jika tidak menggunakan pengisar, adunan perlu ditapis supaya tidak berketul. Ketepikan.

Bahan sampingan:
  • Daun pisang untuk acuan
  • gula sebagai inti
Cara-cara :
  1. Panaskan pengukus.
  2. Letak 1 sudu kecil gula pasir dalam acuan.
  3. Tuang adunan lapisan bawah (warna hijau) separuh acuan.
  4. Kukus selama 10 minit dengan api sederhana.
  5. Angkat dan tuang adunan atas.
  6. Kukus lagi selama 10 minit.
  7. Sedia untuk dihidangkan ketika panas atau disejukkan dulu di dalam peti ais. Selamat mencuba dari Lovely Kitchen.







Wednesday, 17 August 2011

:-> Pisang Goreng ke Tempura Pisang


Pisang Tanduk Goreng di Malaysia, tapi di Jepun dah jadi Tempura Pisang Tanduk. Sejak dok kat sini E-na guna tepung tempura untuk buat goreng pisang. Tidak perlu nak campur tepung bagai hanya tambahkan air mengikut sukatan di belakang pack tepung  dan sedikit garam. Memang ranggup sangat. Dari pertama kali mencuba kami dah jatuh chenta dengan tepung tempura yang tip top ni. E-na pos kat mak lagi untuk try.

Memang ranggup dan sedap! Cubalah...


 E-na suka pisang yang di potong nipis untuk goreng..baru terasa tepung dan pisang sama banyak...nak tau harga sebiji pisang tanduk tengok disini.


RESEPI PISANG GORENG / TENPURA PISANG

Bahan-bahan

  • 1 biji pisang tanduk berat ~800g
  • 150g tepung tenpura
  • 240 ml air
  • 1/2 sudu kecil garam
  • Minyak yang banyak untuk menggoreng
Cara-cara:
  1. Satukan tepung, air dan garam. Kacau sebati. Tekan-tekan tepung dengan sudu supaya hancur.
  2. Basuh bersih kulit pisang. Keringkan dengan kitchen tissue.
  3. Potong nipis pisang seperti dalam gambar di atas.
  4. Panaskan minyak dengan api sederhana.
  5. Buangkan kulit di sekeliling pisang. Ambil dalam 4-6 keping sahaja untuk sekali goreng (bergantung pd saiz pan anda)
  6. Masukkan pisang ke dalam bancuhan tepung.
  7. Bila minyak panas, masukkan pisang yang telah bersalut tepung ke dalam minyak.
  8. Sambil menunggu pisang masak, ulang semula langkah 5 dan 6.
  9. Balikkan bila sudah masak kekuningan. Biarkan masak.
  10. Angkat dan toskan dengan kitchen tissue.
  11. Kemudian ulang langkah 7. Buat sehingga habis. Sedia untuk di makan. Sedap juga di hidang bersama sambal kicap (jika pisang masih separuh masak - belum terasa manisnya). Selamat mencuba dari Lovely Kitchen

Wednesday, 10 August 2011

:-> Burger Malaysia


Dah banyak kali buat sebab hubby dan anak-anak suka. Boleh tengok dalam entry lepas. Biasanya kalau buat nasi lemak akan adalah burger malaysia sebab senang nak share sambal tumis tu kan... Sedap juga di makan dengan chocolate syrap Hersyes.

Resepi asal dari Yani Myr tapi E-na dah tambah sukatan tepung supaya tidak lembik, senang di uli dan cara membuatnya juga telah di edit untuk menyenangkan proses menggoreng.

RESEPI BURGER MALAYSIA
(12 biji)

Bahan-bahan:
  • 250 gram tepung gandum
  • 140ml fresh milk
  • 2 sudu besar marjerin
  • 2 1/2 sudu besar gula
  • 2 sudu kecil dry yeast
  • 1/2 sudu kecil garam
  • Minyak untuk menggoreng
Bahan-bahan inti:
  • Sambal tumis secukupnya
  • timun
  • salad
Bahan sampingan:
  • plastik berukuran 27cm x 18cm atau yg bersesuaian.


Cara-cara:
  1. Masukkan tepung gandum, marjerin, gula dan dry yeast ke dalam bekas menguli. Gaul rata.
  2. Masukkan pula fresh milk dan uli sekejap sekadar semua bahan bercampur.
  3. Kemudian barulah masukkan garam halus dan uli selama 15 minit atau sehingga doh tidak melekat di tangan.
  4. Bulatkan doh menjadi sebiji doh besar. Tutup bekas dengan plastik wrap dan biarkan doh naik selama 30 minit.
  5. Ambil sehelai plastik berukuran 27cm x 18 cm dan potong 1 sisi plastik serta bawah bahagian plastik. Bentangkan plastik tadi di atas tray. Ukuran plastik kini menjadi 38cm x 27cm. 
  6. Tumbuk-tumbuk doh untuk keluarkan udara dan bahagikan kepada 12 bahagian. Bulat-bulatkan dan susun di atas plastik tadi. Jarak-jarakan untuk doh mengembang. Plastik tadi just nice untuk 12 biji doh apabila mengembang nanti.
  7. Rehatkan doh selama 30 minit lagi. 
  8. Panaskan minyak lebih kurang sedalam 2.5cm dari dasar pan.
  9. Gunting plastik tadi kepada 12 bahagian doh seperti gambar di bawah. 
  10. Dengan menggunakan api sederhana, angkat doh dengan plastik dan masukkan doh ke dalam minyak panas. Hati-hati supaya tidak masukkan plastik sekali.
  11. Balikkan  bila keperangan. Angkat dan toskan di atas kitchen tissue.
  12. Biarkan kuih sejuk. 
  13. Belah tengah dan isikan dengan sambal tumis, timun dan salad. Sedia untuk di makan. Selamat mencuba dari Lovely Kitchen.
TIPS LOVELY KITCHEN
  • Alas doh dengan plastik supaya doh mudah diangkat masuk ke dalam pan ketika proses menggoreng.

Monday, 8 August 2011

:-> Kuih Cara Manis dan Cara Berlauk



Cara berkembar...Sebab mesti kena buat dua jenis. Cara Berlauk untuk E-na, hubby, Shasya dan Hafiy. Cara manis pula kegemaran Damia dan E-na juga. Untunglah mamanya dua-dua cara  makan...;p


RESEPI CARA MANIS
*menghasilkan 25 biji (bergantung pd saiz acuan)

Bahan-bahan:

  • 100 gram tepung gandum
  • 100ml santan tin (pekat)
  • 300ml air
  • 1 biji telur (+-65g)
  • 1/3 sudu kecil garam
  • beberapa titik perisa pandan
  • beberapa titik pewarna hijau
  • Gula sebagai inti
Cara-cara:
  1. Masukkan tepung gandum, santan, air, garam, telur, perisa pandan dan pewarna hijau ke dalam bekas.
  2. Kacau sebati. 
  3. Kemudian tapiskan ke dalam jug untuk memudahkan proses memasak nanti.
  4. Panaskan acuan dengan menggunakan api perlahan/ kecil.
  5. Sapu minyak pada acuan.
  6. Tuangkan adunan ke dalam lubang acuan.
  7. Masukkan 1/2 sudu kecil gula ke atas adunan di setiap lubang.
  8. Tutup acuan cara dengan tudung periuk.
  9. Set timer selama 9 minit.
  10. Selepas 9 minit dan kuih masak, guna pengcungkil gigi untuk keluarkan dari acuan.
  11. Angkat dan ulang semula langkah 5 sehingga selesai semua aduan.
  12. Cantumkan cara secara berpasang untuk menghidang.
  13. Sejukkan dan bolehlah di makan. Selamat mencuba dari Lovely Kitchen.
Note : Hati-hati jika makan cara manis yang panas / suam kerana air gula di dalamnya masih panas!



RESEPI KUIH CARA BERLAUK

INTI DAGING
Bahan-bahan:

  • 1 cawan daging cincang / kisar (ayam pun boleh)
  • 1 labu bawang besar holland (180g) - di dadu kecil
  • 1 ulas bawang putih - di dadu kecil
  • 1 1/2 sudu besar rempah kurma
  • 200ml air
  • anggaran 1/2 sudu kecil garam dan serbuk perasa jika suka
  • 1 1/2 sudu besar minyak masak

Cara-cara :

  1. Panaskan 1 1/2 sudu besar minyak.
  2. Tumis bawang putih dan bawang besar sehingga wangi/ layu.
  3. Masukkan rempah kurma, sedikit air dan kacau.
  4. Kemudian masukkan daging, kacau rata.
  5. Masukkan semua air, garam dan perasa.
  6. Biarkan mendidih dan kacau sehingga inti agak kering.
  7. Boleh di guna terus atau di simpan dalam peti untuk kegunaan hari berikutnya.
NOTE : Inti ini cukup untuk 2 bancuhan  cara di bawah.




ADUNAN CARA BERLAUK
*menghasilkan 30 biji (bergantung pd saiz acuan)

Bahan-bahan:

  • 100 gram tepung gandum
  • 100ml santan tin (pekat)
  • 300ml air
  • 1 biji telur (+-65g)
  • 1/3 sudu kecil garam
  • beberapa titik pewarna kuning telur
Bahan-bahan Tabur:
  • Inti daging / ayam 
  • 1 biji cili merah besar - dihiris nipis
  • 25 gram daun sup- dihiris halus
* Pengganti daun sup di Jepun

Cara-cara:
  1. Masukkan tepung gandum, santan, air, garam, telur, dan pewarna kuning telur ke dalam bekas.
  2. Kacau sebati. 
  3. Kemudian tapiskan ke dalam jug untuk memudahkan proses memasak nanti.
  4. Panaskan acuan dengan menggunakan api perlahan/ kecil.
  5. Sapu minyak pada acuan.
  6. Tuangkan adunan ke dalam lubang acuan. Jangan penuh, sekadar 3/4 memenuhi acuan.
  7. Masukkan inti daging, hirisan cili besar dan sedikit daun sup ke atas adunan di setiap lubang.
  8. Tutup acuan cara dengan tudung periuk.
  9. Set timer selama 9 minit.
  10. Selepas 9 minit dan kuih masak, guna pengcungkil gigi untuk keluarkan dari acuan.
  11. Angkat dan ulang semula langkah 5 sehingga selesai semua adunan.
  12. Sejukkan dan bolehlah di makan. Selamat mencuba dari Lovely Kitchen.



TIPS LOVELY KITCHEN

  • SUPAYA KUIH CARA TIDAK MELEKAT DI ACUAN - Pastikan acuan di panaskan dahulu dan di sapu minyak baru isi adunan kuih.
  • Set kan timer semasa  memasak untuk mendapatkan hasil yang sama cantik warna masaknya.
  • Boleh guna ACUAN TAKOYAKI untuk membuat kuih cara.

Thursday, 28 July 2011

:-> Kuih Kaswi Perantau



Kuih Kaswi Tepung Gandum versi Jepun! Mana nak cari gula merah kat sini, tapi nak juga buat. E-na guna kurosato...dari segi rasa memang lain sikit dari yang guna gula merah. Bolehlaaaa kan kaswi perantau, Resepi guna gula merah boleh tengok kat sini.


RESEPI KUIH KASWI GANDUM VERSI PERANTAU

Bahan A :
  • 500ml air
  • 100g kurosato
  • 100g gula pasir

Cara Menyediakan Bahan A :
  1. Masak semua bahan-bahan diatas sehingga gula larut dan sejukkan.

Bahan B :
  • 100g tepung gandum
  • 40g tepung jagung
  • 1/2 sudu kecil air kapur

Cara Menyediakan Bahan B
  1. Panaskan pengukus.
  2. Alas plastik wrap dalam loyang 20cm (nak tebal guna loyang bersaiz lebih kecil)
  3. Bancuh semua bahan B dan tapis ke dalam acuan.
  4. Kukus sehingga masak dengan api sederhana besar lebih kurang 30 minit.
  5. Tunggu hingga sejuk dan potong menggunakan pisau plastik.

Bahan C
  • 5 sudu besar kelapa kering
  • 1 sudu besar santan
  • 1 sudu besar fresh milk
  • sedikit garam

Cara Menyediakan Bahan C
  1. Satukan semua bahan C.
  2. Kukus di dalam periuk kukus selama lebih kurang 5 minit.
  3. Kemudian bolehlah di lumur pada kuih yang telah di potong tadi.

Note :
  • Adunan ini lembut sedikit.
  • Kelapa tak nak + dengan santan dan kukus pun boleh juga.

TIPS
Untuk mendapatkan 'rasa' lemak2 kelapa pada kelapa kering
  • Kukus sebentar kelapa kering bersama sedikit santan. Boleh juga di campur dengan sedikit susu segar. Santan semua pun ok juga.


Friday, 1 July 2011

:-> Kuih Buah Rotan



Cuaca di Nagoya sekarang panaaaas sangat. Hari ini pukul 6.30 pagi suhu dalam rumah sudah 32c. Berbeza dengan cuaca panas di Malaysia, di Nagoya siang malam rasa panas berhaba. Kat rumah ni kalau tak on aircond, mesti on 2 biji kipas untuk satu ruang dengan max speed! Dasyat kan...

E-na pun tak berapa sihat. Tekak perit, kepala berdenyut, badan panas sikit. Bercampur pula dengan cuaca panas rasa penat sangat. Harap puasa nanti kami semua di beri kekuatan untuk berpuasa dengan sempurna. Sekarang subuh 2.55a.m dan maghrib 7.11p.m. Waktu siang (cerah) lebih panjang dari malam. Puasa pun lebih lama nanti....

Dalam perancangan Lovely Kitchen ingin berkongsi resepi biskut raya di bulan July. Insyaallah mana-mana resepi yang pernah di cuba dan ada gambar dalam simpanan akan di publish di LK. Di samping sebagai kenangan dan rujukan E-na, harap pengunjung LK yang ingin membuat biskut raya sendiri mendapat sedikit idea dari perkongsian ini.


Kuih Buah Rotan adalah antara kuih raya yang -na buat untuk Raya Aidiladha 2010. Masa buat kuih ini memang tak sukat bahan-bahan yang digunakan. E-na guna lebihan telur putih sahaja di campur dengan tepung pulut, santan dan gula, juga bijan untuk di salut pada kuih.

Kebanyakan resepi biskut menggunakan telur kuning jadinya telur putih akan banyak berlebihan. E-na cuba buat buah rotan tanpa menggunakan telur kuning. Hasilnya ok ranggup juga. Mungkin tidak seranggup yang guna telur kuning tapi kuihnya tidak keras, elok je. Sedap lah mengunyah dan telur putih pun tidak membazir. Yang lambatnya nak menggentel boolat boolat tu...

Di bawah ini gambar sebenar buah rotan...sama tak? Takkan sama kan ciptaan yang Maha Kuasa dengan yang kita buat.

Gambar dari google.

Tuesday, 21 June 2011

:-> Jagung Rebus Lemak Manis


Jagung kat belakang rumah dah boleh di petik...*mood happy* Lepas ni boleh makan jagung bakar panas2....uish sedap tu!

Apa yang tertulis di atas hanyalah angan-angan penulis sahaja. Jagung tu cuma ada 3 ketui. Beli dengan harga 150 yen seketui. Cukup lah, anak-anak kureng dengan jagung. Rebus 2 ketui untuk E-na dan hubby.

Resepi Jagung Rebus Lemak Manis

Bahan-bahan :
  • 2 tongkol jagung
  • 1/2 sudu kecil garam (atau lebih sikit, bergantung pada kuantiti air)
  • Air secukupnya
  • Sedikit marjerin

Cara Merebus
  1. Buang kulit luar jagung dalam 2 lapis. Tinggalkan beberapa lapisan kulit dalam / muda.
  2. Potong hujung dan pangkal Jagung.
  3. Masukkan jagung, garam dan air separas dengan jagung.
  4. Rebus selama 25 minit atau sehingga jagung masak.
  5. Keluarkan dari periuk, buang semua kulit jagung dan rambutnya.
  6. Sapukan marjerin di sekeliling isi jagung. Boleh di potong kecil atau di makan begitu sahaja.Selamat mencuba dari Lovely Kitchen.

Tips untuk jagung manis dan montok licin berkilat isinya.
  • Tidak perlu rebus terlalu lama. Cukup sekadar 'ngam-ngam' masaknya.
  • Rupa paras jagung akan berkedut jika terlebih rebus. Tiada lagi kemontokan jagung, hilang seri gitu.
  • Garam sekadar rasa lemak-lemak masin baru sedap menghisap air rebusan dari batang jagung.
  • Sapuan marjerin akan memberi kilatan pada jagung dan menambah rasa lemak-lemak manis.


Monday, 6 June 2011

:-> Murtabak Kulit Popia



Resepi Murtabak Ayam
Hidangan untuk 2 - 3 orang

Bahan A (Kulit Murtabak)
  • 5- 6 keping kulit popia
  • sedikit minyak untuk menggoreng

Bahan B (Inti Murtabak)
  • 350 ubi kentang
  • 100g daging ayam cincang
  • 1/2 biji bawang besar kuning /holland
  • 3 sk serbuk kari babas
  • 1 1/2 cawan air (anggaran)
  • 1 sk garam (anggaran)
  • gula dan perasa
  • sedikit minyak
  • 2 biji telur
Cara Membuatnya :
  1. Kentang di buang kulit, dibersihkan dan di potong dadu kecil.
  2. Bawang besar di dadu kecil.
  3. Panaskan sedikit minyak.
  4. Tumis bawang besar sehingga wangi dan layu.
  5. Masukkan serbuk kari yang telah dibancuh dengan sedikit air.
  6. Kemudian masukkan daging ayam cincang. Kacau rata.
  7. Bila daging agak masak masukkan kentang dan air.
  8. Kacau sebati, bila air separuh kering masukkan garam, gula dan perasa secukupnya.
  9. Kacau sehingga air agak kering.
  10. Angkat dan sejukkan.
  11. Pecahkan telur di dalam mangkuk.
  12. Masukkan inti kentang tadi dan kacau sebati. Boleh tambah bawang besar yang dihiris nipis jika suka.
  13. Ambil sekeping kulit popia.
  14. Sudukan 2-3 sudu besar inti kentang ke atas kulit popia.
  15. Lipat menjadi segi 4 supaya semua inti tertutup di dalam kulit popia.
  16. Panaskan pan dengan sedikit minyak.
  17. Masukkan murtabak. Bila dah masak, balikkan.
  18. Angkat murtabak bila sudah masak.
  19. Teruskan langkah 13 sehingga inti habis.
  20. Sedap di makan bersama kari ayam/daging atau kuah cuka. Selamat Mencuba dari Lovely Kitchen


Wednesday, 1 September 2010

:-> Popiah Basah



RESEPI POPIAH BASAH
Bahan-bahan Kulit Popiah:
  • 2 cawan tepung gandum (260g)
  • 3/4 cawan air (150g)
  • 1 biji putih telur
  • 2 sudu makan cuka (2 sudu besar)
  • secubit garam
Cara-cara :
  1. Masukkan semua bahan-bahan ke dalam mangkuk dan gaul sebati.
  2. Tutup mangkuk dan biarkan selama lebih kurang 1/2 jam.
Seterusnya boleh sediakan inti dan sambal.
Bahan-bahan Inti (boleh buat inti ikut suka atau cara tersendiri)
  • 1/2 biji kobis diracik halus (1/4 biji)
  • 3 biji sederhana besar carrot disagat halus (1/2 batang)
  • Segenggam taugeh (E-na tambah)
  • 1 labu bawang besar (1/2 labu)
  • 3 ulas bawang putih ( 1 ulas)
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar udang kering
  • garam
  • minyak untuk menumis
Cara menyediakan Inti :
  1. Kisar bawang besar, bawang putih dan udang kering.
  2. Panaskan sedikit minyak dan masukkan bahan kisar tadi.
  3. Bila bawang sudah wangi / masak masukkan sos tiram dan garam
  4. Kemudian masukkan kobis dan carrot.
  5. Bila sayur sudah layu masukkan taugeh, kacau dan tutup api.
Bahan-bahan Sambal
  • 15 tangkai cili kering (1 sudu besar serbuk cili)
  • 1 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 sudu besar gula perang
  • 2 sudu besar kicap manis
  • garam dan perasa
  • minyak untuk menumis
Cara menyediakan sambal :
  1. Kisar cili kering, bawang besar, bawang putih.
  2. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga garing.
  3. Masukkan kicap kicap, gula perang, garam dan perasa.
  4. Seimbangkan rasa pedas, masin dan manis.
Bahan Sampingan (Yang ini E-na tambah)
  • Kacang tanah (goreng tanpa minyak dan tumbuk halus)
  • bawang goreng
  • Timun di potong halus sebesar batang mancis
  • bijan
Cara Membuat Popia
  1. Panaskan non stick pan dengan api sederhana.
  2. Ambil sejemput adunan tepung tadi dan lenserkan di atas non stick pan.
  3. Buat dari arah jam. Mualakan dari tepi dahulu kemudian sapukan bahagian tengah dengan sisa tepung yang masih ada di tangan. Setelah rata dan bulat biarkan sebentar sampai tepung masak. Boleh tengok demo disini. (KLIK)
  4. Angkat tepung yang telah masak dan letakkan dalam pinggan. Boleh susun berlapis-lapis-tidak akan melekat.
  5. Ulang langkah 4 -6 sehingga selesai.
  6. Ambil sekeping kulit popia dan sapukan dengan sedikit sambal.
  7. Letak satu sudu besar inti, timun dan taburkan kacang tanah, sedikit bijan dan bawang goreng.
  8. Lipat macam biasa dan gulung dengan kemas.
  9. Sedia untuk dihidangkan. Selamat mencuba!

Source : Kak Umi_e (cara dan bahan telah di edit)

Saturday, 28 August 2010

:-> Roti Jala dan Kari Daging Kentang



Resepi Roti Jala

Bahan-bahan
  • 220 gram tepung gandum
  • 200 gram fresh milk
  • 200 gram air
  • +-60 gram telur ( 1 biji)
  • 1/2 sudu kecil garam
  • sedikit pewarna kuning
  • Acuan roti jala

Cara Membuatnya:
  1. Masukkan tepung gandum, garam, telur, fresh milk, air dan pewarna ke dalam mangkuk dan kacau.
  2. Kemudian masukkan adunan ke dalam blender dan blender sehingga sebati.
  3. Tapiskan adunan ke dalam mangkuk.
  4. Biarkan 30 minit sebelum di masak.
  5. Panaskan non stick pan dengan api sederhana.
  6. Masukkan adunan ke dalam acuan dan mulalah menjala.
  7. Angkat bila adunan di bahagian atas sudah beku / bertukar warna lebih cerah.
  8. Kemudian jala lagi adunan ke dalam non stick pan. Lipat atau gulung roti jala yang sudah masak tadi dengan kemas. Ulang langkah 6 - 8 sehingga adunan habis.
  9. Sesuai di hidangkan dengan kari ayam atau daging atau kuah kesukaan anda. Selamat mencuba!

Tuesday, 17 August 2010

:-> Pau Lembut Gebus


Pau Lembut Gebus berinti kentang daging berwarna putih dan Pau inti kacang merah bewarna pink. E-na malas nak titik-titik warna atas pau untuk bezakan inti jadi E-na warnakan terus dengan warna merah.


Resepi Pau Lembut Gebus

Bahan-bahan:
  • 250 gram tepung gandum
  • 100 gram / ml air suam
  • 50 gram gula castor
  • 3 gram dry yeast (3/4 sudu kecil)
  • 1 sudu besar shortening
  • 1 sudu besar dough softener
  • 1 sudu kecil bread softener
  • 1/2 sudu kecil baking powder

Bahan sampingan :
  • Daun pisang / kertas A4/ cooking sheet dipotong sebesar 2 x 2 inci


Cara Membuatnya :
  1. Masukkan semua bahan-bahan ke dalam bread machine mengikut turutan, air suam, dry yeast, tepung gandum, baking powder, bread softener, gula castor, dough softener dan shortening.
  2. Pilih menu 'dough' dan on kan bread machine.
  3. Keluarkan doh dari Bread Machine setelah doh siap diuli dan direhatkan kali pertama lebih kurang selama 15 minit sahaja. Tidak perlu menunggu sehingga doh siap di uli sepenuhnya atau selama 1 1/2 jam.
  4. Bahagikan doh kepada 10 bahagian.
  5. Masukkan inti kegemaran anda dan tutup kemas.
  6. Letakkan di atas daun pisang / kertas A4 / cooking sheet.
  7. Biarkan naik 2 kali ganda.
  8. Panaskan pengukus. Bila air telah mendidih, masukkan pau dan kukus selama 10 minit.
  9. Angkat dan sedia untuk dihidangkan. Selamat Mencuba!





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...