Showing posts with label Kerabu. Show all posts
Showing posts with label Kerabu. Show all posts

Friday, 24 June 2011

:-> Kerabu Pucuk Paku dengan Kerang


Tu diaaa kerabu Pucuk paku jepun! Rupa nak sama, bau nak sama tapi rasa memang tak samaaa...Sedap Pucuk Paku yang kat Malaysia lagi! Pahit sikit rasa pucuk paku jepun ni...patutlah orang jepun kutip pucuk-pucuk sahaja untuk dimakan, daun muda yang dah kembang tak di ambil. Terjawablah sudah persoalan E-na dalam n3 sebelum ini.

Bahagian batang tu laaaagi pahit! Nasib baik E-na buat kerabu jadi rasanya oklah sikit sebab ada rasa masam2 dan pedas. Kalaulah di goreng kicap agaknya tak ter makan kami.... Habis juga 2 ikat pucuk paku yang e-na buat kerabu. Bahagian batang tu je buang sebab dah tak tahan sangat pahitnya. Pada E-na sedap lagi rasa pucuk mengkudu muda makan mentah buat ulam. Pahit-pahit tapi sedap.

Tapi tak apalah itu semua pengalaman. Kalau tak cuba tak tahu...Untuk as, ita, umie, dah terjawab rasa pucuk paku ni, kalau berani boleh try tapi kalau tak suka sayur-sayur pahit, lupakan saja...hihiii.

Kerabu di atas e-na buat guna bahan-bahan yang ada di rumah sahaja. Kerang kat sini saiznya besar-besar sangat, sampai takut nak beli buat makan... Insyaallah balik Malaysia nantilah makan pucuk paku kerang sedap!

Di bawah ini E-na masukkan resepi kerabu pucuk paku yang biasa di buat masa kat Malaysia dulu. Resepi dari bonda tercinta. Sedap tau! Rasanya dah tak de bahan yang terlupa taip. Sukatan tu E-na agak-agak je, biasalah masa masak main campak-campak, takde guna resepi bagai... Sesiapa yang nak mencuba pandai-pandailah ejas kesesuaian rasanya. Insyaallah jadi...

RESEPI PUCUK PAKU KERANG BONDA ZAINUN

Bahan A
  • 2 ikat pucuk paku
  • 300g kerang
  • 1 ekor ikan saiz sedang( kembong / selayang/ selar)
  • 2 keping asam gelugor/keping
  • Garam
  • Air untuk merebus ikan
Bahan B:
  • 4 ulas bawang merah
  • 4-6 biji cili api
  • 7-8 biji lada hitam @ 1/2 sudu kecil serbuk lada hitam kasar
Bahan C :
  • 50ml pati santan
  • 30g kerisik
  • 1 biji lada besar merah dipotong nipis
  • Garam dan gula/perasa
  • Air asam jawa secukupnya
Cara Membuatnya :
  1. Ikan di rebus dengan garam dan asam gelugor. Tos dan sejukkan.
  2. Ikan di buang tulang dan di ambil isinya. Ketepikan.
  3. Kerang dicuci dan di rebus dengan sedikit garam.
  4. Ambil isi kerang. Ketepikan.
  5. Pucuk paku di ambil bahagian yang lembut sahaja (selagi boleh patahkan dgn tangan tu ok boleh diambil), cuci, celur sebentar.
  6. Angkat dan toskan.
  7. Tumbuk semua bahan B, masukkan isi ikan dan tumbuk lagi.
  8. Satukan kerisik kedalam bahan isi ikan dan gaul rata.
  9. Pucuk paku di perah sedikit untuk mengeluarkan air rebusan. Masukkan pucuk paku, kerang, cili besar, semua bahan tumbuk, air asam jawa,santan, garam, sedikit gula/perasa dan gaul rata.
  10. Perasakan cukup masam, masin, pedas. Sedia untuk di hidangkan. Selamat Mencuba dari Lovely Kitchen.

Note :
  • Jika ingin tahan lama kerabu pucuk paku ini tidak perlu letak santan.
  • Boleh gantikan air asam jawa dengan perahan limau nipis.

TIPS MENCUCI PUCUK PAKU
  • Rendam Pucuk paku yang telah dipotong dalam bekas yang airnya tidak tenggelam pucuk paku. Selepas 5 minit boleh nampak ulat-ulat daun di daun/batang pucuk paku yg tidak tenggelam dengan air. Buang ulat-ulat tersebut. Tips ini berkesan untuk pucuk paku yang masih fresh (ulat-ulat pun masih hidup ;p). Elakkan dari mengisi garam di dalam air kerana ulat-ulat akan mati dan terperangkap di dalam pucuk paku.

TIPS SUPAYA PUCUK PAKU KEKAL WARNA HIJAU BERSERI
  • Masukkan ais ke dalam bekas pucuk paku yang baru diangkat dari periuk rebusan. Gaul dan kemudian baru perah buang airnya.

Wednesday, 1 June 2011

:-> Kerabu Taugeh Seri Rampai



Resepi Kerabu Taugeh Seri Rampai


Bahan-bahan :
  • 200g taugeh
  • 4 ekor udang sederhana besar
  • 4 batang kacang buncis / kacang panjang
  • 4 tangkai daun kesum (ambil 3/4 helai daun dari pucuk)
  • 1 biji cili besar merah
  • 1 biji cili api (ikut kepedasan masing2)
  • 2 sudu besar kelapa kering / kelapa parut
  • bawang besar dihiris nipis
  • sedikit serbuk lada hitam kasar
  • lemon / limau nipis
  • garam
  • gula dan perasa

Cara Menyediakannya :
  1. Taugeh di buang ekor/ akar dan dibersihkan.
  2. Udang dibuang kulit, tinggalkan kulit bahagian ekor kemudian dibersihkan.
  3. Didihkan air di dalam periuk.
  4. Masukkan udang dan bila udang agak masak tutup api dan masukkan taugeh. Kacau rata angkat dan toskan.
  5. Goreng kelapa kering tanpa minyak. Selalu balik-balikkan supaya tidak hangit. Bila dah perang coklat angkat dan tumbuk supaya hancur.
  6. Di dalam bekas masukkan taugeh, kacang buncis yang dihiris bulat setebal 2-3mm, daun kesum yang dihiris halus, udang yang di potong 4 atau 5, kelapa tumbuk, bawang besar, cili merah dan cili padi yang di hiris, serbuk lada hitam,garam, gula dan perasa.
  7. Perahkan lemon dan gaul rata.
  8. Rasakan cukup masin, masam, pedas dan hidangkan bersama nasi putih. Selamat mencuba dari Lovely Kitchen.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...