Showing posts with label Chicken. Show all posts
Showing posts with label Chicken. Show all posts

Wednesday, 9 November 2011

Ayam Tandoori Goreng Rempah Pakistan dan Gambar Perencah Tandoori di Jepun






Bertambah lagi satu bahan masakan di jepun yang boleh di makan. Perencah Tandoori Maggi Nestle yang di pack di Kobe,Jepun. Hubby tengok ramuan yang diguna tidak mencurigakan. Satu kotak  sebelah kiri dalam gambar dibawah ada 5 pack kecil (1 pack utk 1kg ayam). Rasanya pun sedap. Boleh menjadi pengganti perencah tandoori Maggi Malaysia(klik) yang telah habis. Ada di jual di  Amica (klik).


E-na campurkan dengan perencah Tandoori dari Pakistan (kotak kiri dalam gambar di atas, ada di jual di Halalya - klik dan Zafar Halal Food Store Kanayama - klik). Memang sesuai dan rasanya wallla...best! best! Mula-mula dulu E-na guna Rempah Tandoori Malaysia buat seperti resepi di bawah. Hubby dan anak-anak minta buatkan lagi tapi perencah tandoori dah abis stok. Nasib baik jumpa perencah tandoori yang ada kat jepun, tak perlu pos dari Malaysia lagi.

Perencah Tandoori Pakistan tu kalau guna dia saje tak kena dengan tekak isi rumah E-na. Rasa rempah dia lain sikit. Tu yang dapat idea campurkan dengan rempah tandoori Malaysia...sedap pulak kejadiannya. Jom cuba resepi simple tapi tak jemu di makan. Gaul je sekilo ayam pastu frozen dalam ziplock plastic kecil2 untuk sekali goreng. Bebila nak makan defrost kejap dan goreng. Kalau nak bakar pun boleh...mana-mana yang senang lah ye.

RESEPI AYAM GORENG TANDOORI REMPAH PAKISTAN

Bahan-bahan:
  • 1 kg ayam di bersihkan.
  • 35 gram Perencah Tandoori Maggi 
  • 1 sudu besar perencah Tandoori Pakistan
  • 1 sudu kecil garam halus (kurang pun bole)
  • Perahan lemon / limau nipis secukupnya.
Cara Memasak:
  1. Campurkan semua bahan dan gaul rata.
  2. Lumurkan pada ayam, perap sekurangnya 30 minit.
  3. Panaskan minyak dan goreng sehingga masak. Bakar pun boleh.
  4. Hidangkan ketika panas. Sedap di makan begitu sahaja atau di makan dengan segala jenis nasi.

Backlink sebagai tanda terima kasih dan penghargaan di atas Lovely Messages dalam entry RED VELVET CAKE DAN SALAM AIDILADHA . Thanks...

Monday, 28 June 2010

:-> Gulai Kurma Ayam Lemon




RESEPI GULAI KURMA AYAM LEMON

Bahan-bahan
  • 8-10 ketul ayam
  • 200ml santan
  • 1 1/2 sudu besar rempah kurma - bancuh dengan sedikit air
  • 1 biji kentang - belah 4
  • 2 inci carrot - potong kecil panjang
  • 1/2 labu bawang besar - di belah kasar
  • 2 biji cili hijau -di belah 2
  • 200ml air
  • sedikit jus lemon
Bahan Tumis
  • 3 ulas bawang merah (di mayang / tumbuk)
  • 1 ulas bawang putih (dimayang / tumbuk)
  • 1 inci halia (dihiris / tumbuk)
  • 1 inci kulit kayu manis
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 2 kuntum bunga cengkih
  • 2 biji buah pelaga
Cara-cara
  1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan tumis sehingga wangi.
  2. Kemudian masukkan rempah kurma dan kacau sehingga naik minyak / agak garing.
  3. Masukkan ayam, carrot dan kentang. Kacau dan masukkan air. Biarkan mendidih.
  4. Apabila ayam telah empuk masukkan santan, bawang besar, dan lada hijau.
  5. Biarkan mendidih dan perlahankan api sehingga naik minyak.
  6. Perasakan garam, masukkan tomato dan jus lemon.
  7. Tutup api bila gulai sudah cukup rasa dan naik minyak. Angkat dan hidangkan. Selamat Mencuba!


:-> Pulut Kuning Kukus @ Pulut Semangat


Pulut Kuning atau di kenali juga dengan Pulut Semangat adalah antara makanan kegemaran anak-anak E-na untuk breakfast. My kids boleh makan pulut kuning macam tu tanpa sebarang lauk. Biasanya E-na gorengkan telur dadar untuk anak-anak dan buat rendang atau sambal tumis / masak sambal untuk kami berdua.

Kali ni masak pulut baru sempat posing. Selalunya habis kena serang sejurus diangkat dari pengukus. Makan dengan Ikan Rebus Goreng Sambal dan timun.

Bagi yang tiada pengukus boleh juga masak pulut kuning guna rice cooker.


RESEPI PULUT KUNING KUKUS

  • 3 mug beras pulut (+-500 gram)
  • 250 ml santan
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 keping asam gelugor
  • 1 helai daun pandan - di potong 2
  • Air untuk merendam pulut - sukatan air 1 - 1 1/2 inci melebihi paras pulut

Cara-cara
  1. Beras Pulut di cuci bersih.
  2. Masukkan air, serbuk kunyit dan asam gelugor ke dalam bekas dan kacau supaya serbuk kunyit larut.
  3. Kemudian masukkan beras pulut dan rendam semalaman.
  4. Keluarkan asam gelugor, cuci dan bilas beras dengan air paip untuk membuang sisa-sisa kunyit.
  5. Didihkan air dan masukkan beras dan separuh daun pandan ke dalam pengukus, ratakan.
  6. Kukus selama 15 minit atau sehingga 3 suku masak.
  7. Angkat dan masukkan ke dalam mangkuk besar bersama baki daun pandan tadi.
  8. Tuangkan santan yang telah dicampur dengan garam gaul rata.
  9. Kemudian ratakan semula pulut ke dalam pengukus dan kukus semula selama 15 - 20 minit atau sehingga masak.
  10. Angkat dan hidangkan. Sesuai di makan bersama rendang, sambal tumis, masak berlada/ sambal. Selamat mencuba!

TIPS
UUNTUK MENDAPATKAN WARNA PULUT KUNING YANG CANTIK SEKATA
  • Rendam beras pulut bersama asam gelugor atau asam keping supaya warna melekat pada beras.
  • Kacau beras 2 atau 3 kali selama proses merendam supaya sekata.
  • Tumbuk sedikit kunyit hidup dan masukkan ke dalam beras yang di rendam. ( warna lebih terang)

Saturday, 26 June 2010

:-> Kuah Kacang Daging



Kuah Kacang Daging terkenal di negeri Johor. E-na pernah makan tapi inilah first time cuba masak sendiri. Resepi asal dari rumah maya Kak Inahar, seorang doktor yang rajin memasak. Seperti kata kak Inahar kuah ini sedap bila ada rasa serai dan gula yang banyak dan di sesuaikan pula dengan tahap kepedasan masing-masing. Memang tidak rugi mencuba!

Makan satay ayam bersama kuah kacang daging...yummy...yummy

Resepi di bawah telah di edit untuk kesesuaian isi rumah Lovely Kitchen. Di makan bersama Satay Ayam Madu dan Nasi Impit. Mungkin boleh juga kalau daging diganti dengan ayam ke....Kuah kacang ayam...why not!


RESEPI KUAH KACANG DAGING

Bahan-bahan
  • 100 gram daging - dipotong kecil dan direbus sehingga lembut
  • 200 gram kacang - di goreng dan tumbuk / kisar
  • 1 biji bawang besar
  • 1 inci halia (1/2 inci di kisar, 1/2 inci diketuk)
  • 3 batang serai - 2 dihiris, 1 diketuk
  • 1 sudu besar chilli powder
  • 2 hiris lengkuas
  • 1 keping asam gelugor
  • 150- 200 ml santan
  • 2 1/2 sudu besar gula
  • 1/2 ketul gula melaka (agak2 lah ye)
  • 2 cawan air (agak2)
  • garam dan perasa
Cara-cara :
  1. Kisar serai, halia, lengkuas, bawang besar, dan serbuk cili.
  2. Tumis bahan-bahan kisar sehingga garing.
  3. Masukkan santan, asam keping dan kacang. kacau.
  4. Kemudian masukkan garam, gula masak sampai mendidih.
  5. Tambah air secukupnya mengikut kepekatan yang diingini.
  6. Biarkan mendidih dan rasa sebati.
  7. Perasakan masin, manis secukupnya barulah di tutup api.
  8. Sesuai di makan dengan satay, nasi impit, ketupat nasi, cucur udang atau di campur dengan kuah lodeh. Selamat mencuba!

Note :
  • Sukatan di atas untuk hidangan 3 ketul nasi impit adabi/nona.



:-> Satay Ayam Madu



Resepi Satay Ayam Madu kali ini tidak banyak beza dengan Satay Ayam yang di buat pada pagi raya tahun lepas. Cuma tambah madu, gula melaka dan menggunakan rempah biji. Ada masa dan sedikit kerajinan bolehlah buat seperti ini kalau tidak belasah je rempah serbuk semuanya... sedap juga! ;-p

Macam mana nak bakar satay? susah ke? perlu ada arang or bbq set baru boleh buat satay? Jangan risau ada bermacam-macam cara yang boleh kita gunakan. Di bawah ini e-na bagi pilihan dan idea untuk yang ingin mencuba.

PELBAGAI PILIHAN CARA MEMBAKAR SATAY
  1. Sapukan TUDUNG PERIUK dengan sedikit minyak masak dan letakkan di atas dapur gas. Susun satay di atas tudung periuk dan bakar sehingga masak. Boleh bakar dan renjis macam bakar dengan arang tu juga. Jangan risau tudung periuk yang hitam kerana ianya akan hilang apabila dicuci. Ini cara yang E-na guna sebab mudah dan cepat masak. Lidi satay juga tidak panas / sedikit panas. Tidak perlu beli alat pemanggang yang lain kan. ATAU
  2. Bagi yang tinggal di Jepun semua DAPUR GAS mempunyai tempat khas untuk membakar ikan/ayam. Boleh gunakan cara ini cuma berhati-hati semasa memegang lidi untuk mengangkat dan balikkan satay kerana lidi agak panas. ATAU
  3. Bakar satay di dalam OVEN dengan suhu 200 c selama 20 - 30 minit atau sehingga masak bergantung kepada jenis oven. ATAU
  4. Buat je SATAY GORENG kemudian bila dah masak cucuk dengan lidi kalau tak pun makan terus lagi senang!

E-na masak Kuah Kacang Daging untuk di makan dengan satay ayam madu. Kalau tidak salah Kuah Kacang Daging ini terkenal di negeri Johor kan... Selalu buat kuah kacang biasa tu je.


RESEPI SATAY AYAM MADU

Bahan:
  • 500 gm isi ayam/daging (hiris kecil )
  • 3 batang serai - dikisar
  • 3 hiris lengkuas - dikisar
  • 1 inci halia - dikisar
  • 1 inci kunyit hidup - dikisar
  • 1 sudu besar biji ketumbar
  • 1 sudu kecil jintan manis - dikisar
  • 1 sudu kecil jintan putih - dikisar
  • 2 ulas bawang putih - dikisar
  • 1 - 2 sudu kecil gula
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil madu
  • sedikit gula melaka / kurosato /nisse -dikisar
  • Lidi satay secukupnya

Bahan tambahan:
  • Kuah Kacang Daging / Kuah kacang
  • nasi impit - dipotong dadu
  • timun (dipotong kecil)
  • bawang besar jika suka (potong kecil)

Bahan untuk merenjis :
  • 1 biji buah keras(ditumbuk halus)
  • 1 sudu besar air
  • 1 sudu kecil gula
  • 1 sudu besar minyak masak
  • 1 batang serai
  • 1 helai daun pandan
  1. Kacau gula dengan air hingga hancur.
  2. Masukkan buah keras dan minyak kemudian kacau sebati.
  3. Serai yang diketuk sedikit dan diikat bersama sehelai daun pandan sebagai perenjis.
  4. Celup ke dalam bahan renjis dan renjis ke atas satay yang sedang di bakar.

Cara membuat satay:
  1. Biji ketumbar, jintan manis dan jintan putih di sangai / digoreng tanpa minyak sehingga wangi kemudian baru di tumbuk / dikisar bersama serai, halia, lengkuas, kunyit, bawang putih, dan gula melaka.
  2. Kemudian campurkan dengan gula, garam dan madu. Perasakan cukup manis, masin.
  3. Perap ayam dengan bahan kisar selama 4 jam atau semalaman untuk rasa yang lebih sedap.
  4. Cucuk dengan lidi satay.
  5. Bakar dan renjiskan dengan bahan renjis sehingga satay masak. Selamat Mencuba!


Saturday, 12 June 2010

:-> Ayam Goreng Sambal




Ayam Goreng Sambal

Bahan-bahan :
  • 6 ketul ayam
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 5 ulas bawang merah / bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 biji tomato dibelah 4
  • Sos tomato
  • Sos Cili
  • Sedikit air asam jawa
  • gula
  • garam dan perasa
  • bawang besar di potong bulat
  • Sedikit air

Caranya :
  1. Ayam di gaul garam kunyit dan di goreng separuh masak.
  2. Panaskan sedikit minyak lebihan goreng ayam.
  3. Tumis bawang merah, bawang putih dan serbuk cili yg telah di bancuh dengan sedikit air sehingga agak garing.
  4. Masukkan sos tomato dan sos cili.
  5. Masukkan gula, air asam jawa, garam dan perasa.
  6. Kemudian masukkan ayam dan gaul rata.
  7. Masukkan sedikit air jika agak kering.
  8. Masukkan bawang besar dan kacau sehingga bawang layu.
  9. Masukkan tomato dan kacau.
  10. Bila sudah sebati bolehlah tutup api. Selamat Mencuba.

Best Regards,
^_^LovelyKitchen^_^


Friday, 7 May 2010

:-> Gulai Nangka Muda dan Ayam



Gulai Nangka Muda dan Ayam
Bahan-bahan :
  • 350 gram nangka muda / 1 tin nangka muda dalam tin
  • 6 ketul ayam
  • 1 sudu kecil serbuk cili giling (nak pedas lebihkan cili)
  • 1 batang serai
  • 400ml santan tin
  • 200ml air
  • 1-2 keping asam gelugor / keping
  • sedikit gula
  • garam dan perasa
Bahan Tumis ( di tumbuk halus)
  • 4 ulas bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1/2 inci halia
  • 1/2 cm lengkuas
Cara Memasak :
  1. Ayam dibersihkan dan digaul dengan sedikit garam.
  2. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan-bahan tumis dan srbuk cili yang di bancuh dengan sedikita air sehingga wangi.
  3. Masukkan serai dan ayam. Kacau rata dan masukkan air.
  4. Biarkan mendidih.
  5. Bila ayam separuh masak, masukkan santan, asam gelugor / keping dan nangka.
  6. Biarkan mendidih sehingga kuah surut sedikit. Perasakan garam dan gula. Keluarkan asam gelugor jika sudah terasa masamnya.
  7. Sedia untuk di hidangkan. Selamat Mencuba!

TIPS :
  1. Jika menggunakan nangka fresh, rebus dahulu nangka sehingga lembut sedikit.

Best Regards,
^_^LovelyKitchen^_^

Thursday, 6 May 2010

:-> Ayam Madu BBQ



Ayam Madu BBQ
Bahan-bahan:
  • 1 ekor ayam - di belah dua dan dikelar di bahagian isi / 12 ketul kepak @ peha ayam.
  • 4 sudu besar madu
  • 1 sudu makan ketumbar
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 2 inci halia
  • 1/2 labu bawang besar / 10 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3 sudu besar sos cili
  • 3 sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar serbuk cili giling / boh (ikut selera masing2)
  • 1 1/4 sidi teh garam
Cara-cara :
  1. Kisar kering ketumbar, jintan manis dan putih.
  2. Tumbuk halia, bawang merah dan bawang putih.
  3. Sesuaikan rasa manis, pedas dan masinnya. Gaulkan dengan ayam.
  4. Perap di dalam peti sejuk semalaman atau sekurang-kurangnya 2 jam supaya bahan-bahan meresap masuk ke dalam ayam.
  5. Titikkan minyak di atas ayam.
  6. Bakar di dalam oven dengan suhu 220 degree selama 30 minit.
  7. Kemudian balikkan ayam dan bakar selama 10-15 minit lagi.
  8. Sedap di makan dengan nasi putih, nasi minyak atau di ratah begitu sahaja. Selamat Mencuba!
TIPS :
  1. Suhu oven dan masa membakar bergantung kpd jenis oven masing-masing.
  2. Titikkan sedikit minyak di atas ayam sebelum di bakar supaya tidak terlalu kering.


Best Regards,
^_^LovelyKitchen^_^


Source : Kak Zai

Saturday, 1 May 2010

:-> Daging Burger Black Pepper


Daging Burger Black Pepper
Bahan-bahan :
  • 2 keping daging burger
  • 1 sudu besar perencah daging black pepper maggie
  • 1 ulas bawang putih - di mayang
  • 2 ulas bawang merah - di mayang
  • Hirisan bawang besar
  • Daun bawang - di potong 1 inci ( masa buat ni xde stok)
Cara Memasak :
  1. Daging burger di potong kiub.
  2. Dengan menggunakan api yang besar dan sedikit minyak goreng daging burger.
  3. Balik-balikkan, angkat dan ketepikan.
  4. Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga kekuningan.
  5. Masukkan perencah black pepper yang telah dibancuh dengan air.
  6. Kemudian masukkan daging burger tadi dan kacau sebati.
  7. Masukkan bawang besar dan perasakan garam. Tambah sedikit air jika terlalu kering.
  8. Bila bawang sudah layu, masukkan daun bawang, kacau dan tutup api.
  9. Sedap di hidangkan semasa panas. Selamat mencuba!

Best Regards,
^_^LovelyKitchen^_^

Friday, 30 April 2010

:-> Ayam Goreng Halia



AYAM GORENG HALIA
Bahan-bahannya:
  • 6-8 ketul ayam (di potong kecil)
  • 1 biji piman /capsicum (optional)
  • 1/2 inci halia -di hiris sebesar batang mancis
  • 1 1/2 tbs sos tiram
  • Hirisan bawang besar
  • 1 ulas bawang putih - dihiris
  • 2 ulas bawang merah - dihiris
  • Sedikit bunga kobis / carrot (optional)
  • 2 biji cili api (optional )
  • sedikit air
  • Garam dan kunyit
Cara Memasaknya :
  1. Gaul ayam dengan garam dan kunyit.
  2. Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga kekuningan.
  3. Masukkan halia, sos tiram dan sedikit air.
  4. Kemudian masukkan ayam dan kacau rata.
  5. Biarkan ayam masak, kemudian masukkan bunga kobis dan carrot.
  6. Jika agak kering masukkan sedikit lagi air.
  7. Masukkan hirisan bawang besar,piman/ capsicum dan cili api. Kacau sebati.
  8. Perasakan garam dan bolehlah di hidangkan. Selamat Mencuba!

UPDATE :
Rakan yang sudi berkongsi ilmu dengan Lovely Kitchen
  1. Ika - 01.05.2010
Best Regards,
^_^LovelyKitchen^_^

Thursday, 22 April 2010

:-> Kari Ayam Tomato


KARI AYAM TOMATO
  • 6 Ketul ayam
  • 2 biji tomato
  • 200ml santan pekat
  • 400ml air
  • 6 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 1/2 sudu besar rempah kari ayam dan daging Adabi (di bancuh dgn air)
  • 1 sk serbuk cili giling (optional)
  • 1 biji kentang (di belah 4)
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 1 inci kulit kayu manis
  • 2 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga cengkih
  • sedikit gula
  • garam dan perasa.
Cara membuatnya :
  1. Sebiji tomato di potong dadu kecil dan sebiji lagi di belah 4.
  2. Bawang merah, bawang putih dan halia di blend/ tumbuk sehingga hancur.
  3. Tumis bawang dan rempah 4 sekawan (kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, bunga cengkih) sehingga naik bau / kekuningan.
  4. Masukkan serbuk cili yg di bancuh dgn sedikit air dan kacau sehingga garing.
  5. Kemudian masukkan rempah kari dan kacau sehingga naik minyak.
  6. Masukkan sebiji tomato yg dipotong dadu. Kacau sehingga hancur.
  7. Masukkan ayam dan kacau sekejap.
  8. Masukkan air dan biarkan mendidih sehingga ayam empuk.
  9. Kemudian masukkan santan dan ubi kentang.
  10. Perasakan gula dan garam
  11. Bila kentang telah masak masukkan tomato yang di belah 4.
  12. Biarkan mendidih sebentar dan angkat. Selamat mencuba!
TIPS : Untuk mendapatkan kari yang merah cantik berminyak:
Semasa menumis pastikan rempah kari dan serbuk cili betul2 masak,wangi, garing (jangan sampai hangit) barulah dimasukkan tomato.




Rakan-rakan yang telah mencuba Resepi Kari Ayam Tomato:

  1. Syamila - 26/04/2010
  2. Hana - 27/04/2010
  3. Mas -  13/07/2010
  4. Izzah - 20/01/2011

Best Regards,
^_^LovelyKitchen^_^

Tuesday, 12 January 2010

:-> Ayam Masak Merah Special


Special??? Memang special Ayam Masak Merah ni...tak percaya? Try dulu baru tau! E-na tambah special kat ayam tu sebab rasanya memang sedap!!! Macam makan kat tempat kenduri kawin (catering yang sedap lah kan)...Sorry lah ye ayam tu pun tinggal seketul je utk posing, tak sempat nak pose cantik2 pun... maklumlah bila siap je masak semua dan tunggu untuk makan.

AYAM MASAK MERAH SPECIAL
Bahan-bahannya :
  • 8 ketul ayam
  • 3 biji tomato - di potong dadu kecil
  • 1 1/2 sudu besar serbuk cili giling (lebihkan jika mau pedas) - dibancuh dengan sedikit air
  • 2 sudu besar sos tomato
  • 2 sudu besar madu
  • 1 labu bawang besar - di hiris bulat
  • 2 1/2 sudu besar fresh milk @ susu cair
  • Sedikit gula
  • Garam
  • 1/2 cawan air

Bahan Tumis
  • 2 ulas bawang putih - dimayang
  • 4 ulas bawang merah - dimayang
  • 1 inci halia - dihiris halus
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 2 biji buah pelaga hindi
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 1 inci kulit kayu manis

Cara Memasaknya:
  1. Ayam digaul dengan sedikit garam dan kunyit, goreng sekejap. Tapi jangan sampai garing sangat. Angkat dan ketepikan.
  2. Panaskan 8 sudu besar minyak lebihan menggoreng ayam tadi.
  3. Masukkan bahan tumis dan kacau sehingga kekuningan atau naik bau.
  4. Masukkan serbuk cili giling dan goreng hingga garing.
  5. Kemudian masukkan tomato yang telah di dadu kecil dan kacau sebati.
  6. Masukkan sos tomato dan air.
  7. Diikuti dengan madu, gula dan garam. Sesuaikan rasa masin dan manisnya.
  8. Bila sudah mendidih masukkan pula fresh milk. Kecilkan api, kacau rata.
  9. Kemudian bolehlah dimasukkan ayam yang telah digoreng tadi bersama bawang besar.
  10. Biarkan mendidih seketika atau sehingga kuah dan ayam sudah mesra.
  11. Boleh tabur daun bawang jika suka. Selamat Mencuba.

Best Regards,
^_^LovelyKitchen^_^


Source : MyR

Friday, 8 January 2010

:-> Ayam Panggang Madu



Ayam Panggang Madu ni makan macam tu pun sedap. Bahan-bahan yang E-ena guna pun simple je...Biasanya E-na buat ayam panggang madu ni bila ada menu sup ayam di rumah ni. E-na akan gunakan ayam dari sup tersebut. Bila dah mendidih sup ayam tu, E-na keluarkan sebahagian ayam untuk di perap dengan bahan-bahan di bawah ini.

AYAM PANGGANG MADU
Bahan-bahannya:
  • 8 ketul ayam (chicken wings lagi sedap!)
  • 2 tbs madu
  • 1/3 tsp black pepper powder
  • 1-2 tbs kicap pekat manis
  • 1 tbs sos tiram
  • Sedikit garam dan perasa
Cara Membuatnya:
  1. Rebus sebentar ayam sekadar airnya mendidih sekejap. Biasanya E-na gunakan ayam dari sup ayam.
  2. Kelar sedikit ayam tadi supaya dapat menyerap sos.
  3. Perap ayam dengan semua bahan di atas selama 1 jam. Kalau perap lama lagi sedap rasanya.
  4. Bakar di dalam oven dengan suhu 230 degree selama 15 - 20 minit atau sehingga ayam kemerah-merahan warnanya.


Best Regards,
^_^LovelyKitchen^_^

Sunday, 3 January 2010

:-> Ayam Goreng Ala KFC


Crispy dan sedap rasanya ayam goreng ni..bolehlah lepaskan rindu anak-anak (mama n papa skali, kih kih) pd Atuk KFC. E-na perap ayam tu semalaman dan guna tepung jagung je, bhn2 lain tu x sukat pun main campak2 je nasib baik sedap!...next time nak try combine dgn tepung pulut dan follow betul2 resepi kt bawah ni...

AYAM GORENG ALA KFC

Bahan Untuk Perap Ayam

  • 6-8 ketul ayam
  • 3 ulas bawang putih ditumbuk
  • Sedikit garam
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 1 sudu kecil lada hitam
  • Secubit baking powder
  • Secubit serbuk perasa

Bahan untuk tepung:

  • 1 cawan tepung jagung
  • 1 cawan tepung beras pulut (guna tepung jagung 2 cawan pun takpe)
  • 3 ulas bawang putih ditumbuk
  • Sedikit garam
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 1 sudu kecil lada hitam
  • Secubit baking powder
  • Secubit serbuk perasa
Cara Memasaknya :
  1. Perap ayam dengan bahan-bahan perapan selama 1 jam
  2. Campurkan semua bahan-bahan untuk tepung di dalam bekas
  3. Selepas 1 jam, celup ayam yang telah diperap ke dalam telur yang dikacau.
  4. Salutkan ayam tersebut di dalam campuran tepung tadi.
  5. Goreng dalam minyak yang banyak sehingga garing.
  6. Toskan minyak dan sedia untuk dihidangkan.

Best Regards,
^_^LovelyKitchen^_^

Source : Ijan

Tuesday, 29 December 2009

:-> Ayam Bakar Rempah


Percubaan pertama membakar seekor ayam... E-na sebenarnya 'ngeri' sket nak bermain ngan ayam sekor2 gitu dalam sink semasa nak cuci...dok membayangkan ayam tu hidup jer tapi kuatkan juga semangat dan berjaya juga akhirnya...puashati!

Ayam tu x besar mana pun cuma 900g jer! Cukup untuk sekali hadap kami anak beranak....Sedap je meratah panas2....

AYAM BAKAR REMPAH

Bahan-bahannya:

  • 1 ekor ayam
  • 1 tsp jintan manis
  • 1 tsp dry oregano
  • 1 tsp ginger powder
  • 1/2 tsp serbuk ketumbar
  • 1/2 tsp serbuk lada hitam
  • 1/2 tsp serbuk kari
  • 1/2 tsp paprika powder
  • 1/2 tsp serbuk halba
  • 1/2 tsp serbuk kunyit
  • 2 tbs madu
  • 2 tbs bawang besar blend
  • 1 tbs olive oil
  • Garam
Cara Membuatnya:
  1. Ayam di belah di bahagian dada dan di cuci bersih.
  2. Perapkan dengan semua bahan di atas semalaman.
  3. Bakar dengan suhu 200 degree selama sejam atau sehingga masak.
  4. Sedia di hidang bersama salad dan sos kegemaran.


Best Regards,
^_^LovelyKitchen^_^
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...